SELAGI HIDUP, HIDUPKANLAH SUNNAH!
- 05/10/2023
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Hadis, Ibadah, Kisah Inspirasi, Pendidikan Agama, Sunnah
SELAGI HIDUP, HIDUPKANLAH SUNNAH!
Imam al-Dailami berkata:
بلغني أن « أول ذهاب الدين ترك السنة، يذهب الدين سنة سنة، كما يذهب الحبل قوة قوة
Maksudnya: “Telah disampaikan kepadaku, bahawa awal hilangnya agama, dengan meninggalkan sunnah. Sunnah demi sunnah akan hilang, sebagaimana terlepasnya tali seutas demi seutas.” (Al-Lalika’i, Syarh al-Sunnah)
Dalam usaha menghidupkan sunnah, kesungguhan Imam Abu Daud amat luar biasa dan patut dicontohi.
Diriwayatkan bahawa suatu hari beliau menaiki perahu. Lalu, beliau mendengar seseorang yang bersin di tepi pantai, seketika orang yang bersin ini mengucapkan: Alhamdulillah.
Kemudian, Imam Abu Daud mengupah pengemudi perahu dengan satu dirham dan turun dari perahu itu hingga beliau mendatangi orang yang bersin tadi, lalu berkata: Yarhamukallah.
Kemudian beliau kembali menaiki perahu. Hal ini membuat kawan-kawannya bertanya mengenai alasan perbuatannya itu. Imam Abu Daud menjawab:
لعل هذا العاطس يكون مُجاب الدّعوة!
Maksudnya: “Barangkali orang yang bersin tadi adalah orang yang dikabulkan doanya.”
* Selepas Imam Abu Daud sebut Yarhamukallah, orang tersebut sebut Yahdikumullah wa yuslih baalkum (Maksudnya: Semoga Allah memberimu petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).
Ketika para penumpang perahu terlelap dalam tidurnya, mereka mendengar suara yang menyeru:
يا أهل السفينة! إن أبا داود اشترى الجنّة من الله بـدرهـم
Maksudnya: “Wahai para penumpang perahu! Sungguh Abu Daud telah membeli Syurga dari Allah dengan wang satu dirham.” (Fath al-Bari)
Dalam kehidupan seharian, terlalu banyak sunnah yang ada, dan boleh kita hidupkan. Sunnah-sunnah yang mudah seperti memberi salam, senyum bila bertemu orang, makan/minun tangan kanan, ucapan dan jawapan ketika bersin dan banyak lagi.
Adapun sunnah dari segi ibadah, seperti solat sunat rawatib, solat witir, puasa sunat, puasa hari putih, sedekah, mencari nafkah dan pelbagai lagi.
Sunnah dalam kehidupan sosial, seperti menghadiri kenduri, menyediakan makanan kepada keluarga si mati bukan pergi makan di rumah si mati, membantu orang menaiki kenderaan, menyelesaikan persengketaan antara dua orang, mengalihkan bahaya di jalanan dan lain-lain.
Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِى فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya “Barang siapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun.” (HR Muslim)
Syaikh Muhammad bih Shaleh al-‘Utsaimin berkata: “Sesungguhnya sunnah Rasulullah ﷺ jika semakin dilupakan (orang ramai), maka (keutamaan) mengamalkannya pun semakin kuat (besar), kerana (orang yang mengamalkannya) akan mendapat keutamaan mengamalkan (sunnah itu sendiri) dan (keutamaan) menyebarkan (menghidupkan) sunnah di kalangan manusia.” (Manaasikh al-Hajji wa al-‘Umrah)
Selain mulakan hari kita dengan senyuman yang paling manis, mulakan juga hari kita dengan menghidupkan sunnah yang semakin dilupakan manusia.
Editor: Loha
20 Rabi’ulawal 1445H