SELAWAT TAK KENA TEMPAT
Selawat merupakan ibadah yang mulia, namun ada tempat yang selawat tidak tepat untuk diamalkan. Contohnya selawat dalam tandas atau selawat mengantikan basmalah ketika makan.
Walaupun selawat itu baik, namun Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma pernah menegur orang yang membaca selawat tak kena pada tempatnya. Diriwayatkan daripada Nafi’ katanya:
أَنَّ رَجُلاً، عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ
Maksudnya: Seorang lelaki bersin berhampiran dengan Ibnu ‘Umar, lalu lelaki itu membaca: Segala puji bagi Allah, salam ke atas Rasulullah SAW.
قَالَ ابْنُ عُمَرَ وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Ibnu ‘Umar berkata: Aku juga membaca ‘Segala puji bagi Allah, salam ke atas Rasulullah’ akan tetapi bukan begini Rasulullah SAW mengajar kami. Baginda mengajar kami menyebut: Alhamdulillah, ‘ala kulli haal (segala puji bagi Allah atas setiap keadaan). (HR al-Tirmizi)
Ibnu ‘Umar melarang hal ini kerana orang itu menggabungkan tahmid dan salam ke atas Nabi SAW apabila bersin. Kerana apa yang diajar Nabi saw adalah tahmid sahaja.
Walaupun selawat itu baik, namun Ibnu ‘Umar melarang apabila sesuatu amalan itu tidak selari dengan apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Termasuk juga semua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW sedangkan tiada halangan, maka halanglah diri kita dari melakukannya, kerana khuatir ia termasuk kategori bidaah. Syeikh al-Albani menukil perkataan Syeikh Ali Mahfuz:
أن ما تركه النبي صلى الله عليه وسلم مع قيام المقتضي على فعله فتركه هو السنة وفعله بدعة مذمومة.
Maksudnya: “Apa saja perbuatan yang ditinggalkan Nabi SAW, sementara perbuatan itu dapat dilakukan, maka meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah. Sebaliknya melaksanakan perbuatan itu adalah bidaah yang tercela.” (Solat Tarawih)
Ketahuilah, tidak pernah Nabi Muhammad SAW atau para sahabat atau mana-mana imam mazhab mempraktikkan bacaan antara rakaat-rakaat tarawih dengan selawat atau apa sahaja. Renungi kenyataan tokoh mazhab imam al-Syafie iaitu Ibn Hajar al-Haitami ini:
بقوله الصلاة في هذا المحل بخصوصه .لم نر شيئا في السنة ولا في كلام أصحابنا فهي بدعة ينهى…
Maksudnya: “Selawat (antara rakaat-rakaat tarawih) tempat tersebut secara khusus tidak kami dapati ada sesuatu (bukti) di dalam sunnah, dan tiada juga dari perkataan sahabat-sahabat kami. Maka ia adalah satu bidaah, ditegah darinya…” (al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah)
Tidak ketinggalan, ulama mazhab Maliki turut membidaahkan sebarang zikir atau selawat di antara rakaat solat terawih, Ibn al-Hajj berkata:
وينبغي له أن يتجنب ما أحدثوه من الذكر بعد كل تسليمتين من صلاة التراويح ، ومن رفع أصواتهم بذلك ، والمشي على صوت واحد ؛ فإن ذلك كله من البدع ، وكذلك ينهى عن قول المؤذن بعد ذكرهم بعد التسلميتين من صلاة التراويح ” الصلاة يرحمكم الله ” ؛ فإنه محدث أيضاً ، والحدث في الدين ممنوع ، وخير الهدي هدي محمد صلى الله عليه وسلم ، ثم الخلفاء بعده ثم الصحابة رضوان الله عليهم أجمعين ولم يذكر عن أحد من السلف فعل ذلك.
Maksudnya: “Sepatutnya (seseorang imam) menjauhi apa-apa yang orang ramai rekakan terdiri dari zikir selepas setiap 2 salam dari solat Tarawih, dan terdiri dari perbuatan meninggikan suara dengan zikir tersebut secara serentak dengan satu suara. Sesungguhnya demikian itu semuanya termasuk dari bidaah.
Demikian juga dilarang bacaan tukang azan selepas dari zikir orang ramai setelah 2 salam solat Tarawih: “al-Solah, Yarhamukumullah.” Sesungguhnya ia juga adalah suatu yang direka (bidaah).
Manakala rekaan di dalam agama adalah suatu yang dilarang. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad SAW, setelah itu para khulafa’ selepas baginda, setelah itu para sahabat, dan tidak disebut dari seorangpun dalam kalangan al-Salaf pernah melakukan demikian itu.” (Al-Madkhal)
Jika hendak bawa pendapat yang membenarkan, maka tiada titik noktah pada perbincangan, kembali kepada sunnah sahaja yang akan melapangkan ketegangan.
Beribadahlah seperti Nabi dan sahabat serta imam 4 mazhab, jangan sesekali anggap diri lebih alim dari mereka sehingga mengabaikan pengamalan ibadah seperti cara mereka.
Wallahualam
Editor: Loha
22 Syaaban 1445H