SELAWAT YANG MEMENATKAN MALAIKAT

5 Views

Tersebar sebuah riwayat yang menyatakan bahawa sesiapa yang membaca selawat berikut:

جزا الله محمدا عنا ما هو أهله فقد اتعب سبعين من كتبة الملائكة يكتبون له ثوابها ألف صباح

Maksudnya: “Allah membalas (kurniaan kebaikan) kepada (Nabi SAW) Muhammad dan keluarganya.”

Maka 70 malaikat akan menulis pahala si pengucap ini selama seribu Subuh.

Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Thabrani -1-, serta beberapa kitab seperti Abu Nu’an, Hilya al-Awliya dan selainnya.

Al-Thabrani sendiri selepas meriwayatkan hadis ini, beliau berkata: “hadis ini hanya diriwayatkan oleh Ja’far bin Muhammad dari Ikrimah dan hanya Mu’awiyyah bin Soleh ambil dari Ja’far serta bersendiri pula Haani bin al-Mutawakkil ambil dari Mu’awiyyah.” -2-

Al-Haitsami menyatakan padanya: “(pada hadis ini) ada Haani bin al-Mutawakkil, dan dia adalah dhaif.” -3-

Abu Nu’aim turut memberi komentar bahawa: “hadis ini pelik (gharib) dari hadis Ikrimah…” -4-

Ahmad bin Abdul Hamid al-Salafiy memberi ulasan terhadap “Haani bin al-Mutawakkil bahawa dia ini teramat dhaif.” -5-

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengulas bahawa: “hadis ini adalah hadis munkar.” -6-

Al-Albani senada, melabel hadis ini sebagai: “hadis munkar dan terlampau dhaif (pada sanad lain).” -7-

Bahkan Ibn al-Hibban yang terkenal sebagai mutasahilih (mudah mensahihkan hadis) turut “memuatkan hadis ini dalam kategori hadis-hadis munkar serta tidak membenarkan berhujjah dengan hadis ini.” -8-

Boleh disimpulkan bahawa hadis ini tidak sahih sama sekali dari Nabi -shallallahu’alaihi wa sallam- yang mulia. Ditambah al-Thabrani yang meriwayatkannya sendiri memberi isyarat akan ketidaksahihannya.

Ibn al-Qayyim -9- menyenaraikan ciri-ciri hadis palsu adalah yang mengandungi penetapan pahala atau dosa secara berlebihan.

Maka hadis di atas bukan saja tidak memenuhi ciri-ciri hadis sahih bahkan menepati ciri-ciri hadis palsu. Hadis di atas adalah tidak wajar sama sekali untuk diamalkan apatah lagi disebarkan.

Sangat mengecewakan apabila golongan yang melampau sanjung ulama, namun pada masa yang sama bersungguh-sungguh nak beramal dengan hadis yang begitu ramai ulama kritik.

Ibn al-Mubarak “tidak membenarkan beramal dengan doa yang tidak diketahui asasnya.” -10-

Doa dan selawat dari hadis yang sahih terlalu banyak. Umat Islam tidak berhajat kepada doa yang pelik serta yang datang dari sumber yang tidak autentik.

Wallahualam.

______________________________
1. Mu’jam al-Ausath
2. Ibid
3. Majma al-Zawaid
4. Hilya al-Auliya
5. Tahqiq Musnad al-Shaamin
6. Lisan al-Mizan
7. Silsilah Ahadith al-Dhaif wa al-Maudhu
8. Ibid
9. Manar al-Munir
10. Zimm al-Kalam wa Ahli

Editor: Loha
23 Zulkaedah 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *