SOLAT ATAS SEJADAH BERGAMBAR KAABAH

5 Views

Berinteraksi dengan isu sejadah bergambar Kaabah ini terdapat pelbagai perspektif berbeza dalam menukil hukum.

Sebahagiannya menjawab dengan logik dan emosi bahawa tidak boleh, kerana hormat pada Kaabah dan tidak seharusnya ia dipijak.

Namun pendekatan berbeza dari mereka yang melihat beberapa sudut yang menjadikan hukum harus solat atas sejadah yang ada gambar Kaabah padanya.

Pertama, kita perlu tahu bahawa umat Islam tidak menyembah Kaabah dan Kaabah hanyalah sebagai arah kiblat. Firman Allah SWT:

(فَلۡیَعۡبُدُوا۟ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَیۡتِ)

Maksudnya: “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini.” -1-

إِنَّما أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هذِهِ الْبَلْدَةِ الَّذِي حَرَّمَها وَلَهُ كُلُّ شَيْءٍ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Aku hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan negeri ini (Mekah) Yang telah menjadikannya suci dan kepunyaan-Nyalah segala sesuatu, dan aku diperintahkan supaya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” -2-

Jelas bahawa muslim bukan sembah Kaabah, tapi menyembah Tuhan yang menjadikan Kaabah sebagai arah kiblat.

Kedua, dalam catatan sirah, Rasulullah SAW sendiri pernah berniat hendak merobohkan Kaabah kerana hendak membinanya semula dengan struktur asal, sebagaimana sabda Nabi SAW kepada Aisyah RA:

َ لَوْلَا حَدَاثَةُ عَهْدِ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَنَقَضْتُ الْكَعْبَةَ وَلَجَعَلْتُهَا عَلَى أَسَاسِ إِبْرَاهِيمَ فَإِنَّ قُرَيْشًا حِينَ بَنَتْ الْبَيْتَ اسْتَقْصَرَتْ وَلَجَعَلْتُ لَهَا خَلْفًا

“Kalau bukanlah kerana kaummu yang baru saja meninggalkan kekufuran, pasti akan aku runtuhkan Kaabah dan membinanya semula menurut asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Sebab, dulu orang-orang Quraisy mengubahnya sewaktu mereka membangunkannya. Dan aku akan membuatkannya pintu belakang.” – 3-

Ertinya bangunan Kaabah yang ada ketika itu pun tidak disenangi Nabi SAW, hanya sanya kerana baginda khuatir orang ramai masih terlalu tinggi pengagungan terhadap Kaabah akan menyebabkan mereka memberontak dan sebagainya, dan menjadi halangan kepada Nabi SAW meneruskan niatnya itu.

Bentuk Kaabah yang ada sekarang ini adalah bentuk tidak asli dan tidak disenangi Nabi SAW dan hendak dirobohkan, maka sekadar grafik bentuk Kaabah atas sejadah tentu lebih tidak menjadi satu kesalahan untuk dikoyak atau seumpamanya.

Ketiga, Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menukilkan peristiwa pembukaan kota Mekah dengan berkata bahawa:

وحانت الصلاة، فأمر رسول الله صلى الله عليه وسلم بلالا أن يصعد فيؤذن على الكعبة،

Maksudnya: “Apabila tiba waktu solat, Rasulullah SAW menyuruh Bilal bin Rabah untuk memanjat puncak Kaabah, lalu mengumandangkan azan di atasnya (atas Kaabah).” -4-

Nabi SAW arahkan agar Bilal bin Rabah, untuk berdiri di atas zat Kaabah. Andai tindakan memijak Kaabah adalah mencemarkan kehormatan, pasti Nabi SAW melarang, tapi Nabi SAW sendiri perintahkan sedemikian.

Yang dipijak itu bukanlah gambar Kaabah, tapi zat Kaabah itu sendiri. Ini bermakna tindakan Bilal bukanlah satu penghinaan pada Kaabah.

Berdasarkan tiga hujah ini, jelaslah bahawa keharusan menggunakan sejadah bergambar Kaabah. Pendapat ini juga selaras dengan fatwa dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis:

“Solat di atas sejadah yang bergambar Kaabah atau masjid dan seumpamanya adalah harus selagi ia tidak mengganggu khusyuk dalam solat.” -5-

Selari juga dengan fatwa dari Jabatan Mufti Wilayah menyatakan: “Harus (menggunakan sejadah gambar Kaabah) dan lebih baik sejadah yang kosong tanpa sebarang gambar.” -6-

Namun andai berdiri atas gambar Kaabah itu dengan tujuan menghina maka jatuh kepada hukum haram.

Apa yang lebih molek adalah menggunakan sejadah ‘plain’ (kosong), ini adalah lebih utama, kerana corak gambar mungkin mengganggu kekhusyukan solat.

Nabi SAW pernah solat dengan pakaian ada gambar bendera atau tanda. Lantas baginda melihat dengan satu pandangan yang tajam, kemudian berpaling seraya bersabda:

اذْهَبُوا بِخَمِيصَتِي هَذِهِ إِلَى أَبِي جَهْمٍ وَأْتُونِي بِأَنْبِجَانِيَّةِ أَبِي جَهْمٍ فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا عَنْ صَلَاتِي

Maksudnya: “Bawalah baju (بِخَمِيصَتِي) ini kepada Abi Jaham dan bawakan untukku baju Anbijaniyyah (بِأَنْبِجَانِيَّةِ) Abi Jaham kerana ia melalaikan aku daripada solatku.” -7-

‘Khomishoh (بِخَمِيصَتِي)’ adalah baju bergaris dari sutera atau wol. Kata ‘Anbajaniyah adalah kain tebal tidak ada gambar dan ukiran.

Dalam riwayat lain, Aisyah RA berkata, Nabi SAW bersabda:

كُنْتُ أَنْظُرُ إِلَى عَلَمِهَا وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ فَأَخَافُ أَنْ تَفْتِنَنِي

Maksudnya: “Aku melihat kepada gambarnya sedang aku dalam solat, maka aku bimbang ia membawa fitnah kepadaku (atau melalaikan aku).” -8-

Imam al-Nawawi berkata ketika mengulas hadis Nabi SAW tidak suka gambar itu, dengan katanya:

“Dalam hadis ini adalah gesaan supaya hati sentiasa hadir dan khusyuk ketika solat dengan tadabbur bacaan, zikir serta maksudnya untuk patuh dan taat. Ditegah daripada melihat kepada perkara yang melalaikan dan menghilangkan semua bentuk yang akan melalaikan hati.” -9-

Syeikh Soleh al-Utsaimin juga pernah ditanya soalan berkenaan solat atas sejadah bergambar masjid, dan beliau menjawab:

أولاً نرى أنه لا ينبغي أن يوضع للإمام مثل هذا؛ لأنه ربما يشوش عليه. لأنه ربما يشوش عليه ويلفت نظره، وهذا يخل بالصلاة. فإذا قدر أن الإمام لا ينشغل بذلك لكونه أعمى، أو لكون هذا الأمر قد مر عليه كثيراً فلا يلتفت إليه فإننا لا نرى بأساً أن يصلى عليها معكوسة أو غير معكوسة

Maksudnya: “Pendapat kami, tidak sepatutnya diletakkan untuk imam sajadah yang ada gambar masjid.

Kerana terkadang ia boleh mengganggu dan memalingkan pandangannya dan ini mengurangkan khusyuk dalam solat.

Kalau seorang imam tidak terganggu dengan hal itu kerana buta atau kerana sudah terbiasa sehingga tidak menarik perhatian dan tidak mengalihkan pandangannya, maka kami berpendapat tidak mengapa solat di atasnya yakni atas sejadah bergambar atau tidak.” -10-

Dapat disimpulkan bahawa solat sah atas apa jua permukaan, baik sejadah atau batu atau selainnya, seandainya terdapat corak atau ukiran atau gambar yang mencabut ketenteraman solat, hukumnya adalah makruh.

Manakala hukum solat atas sejadah yang ada gambar Kaabah adalah harus selagi mana tidak mengganggu kekhusyukan atau ia telah menjadi kebiasaan maka tidak haram.

Wallahualam

Editor: Loha
5 Syawal 1445H

______________________________
1. Al-Quran: Surah Quraish: 3
2. Al-Quran Surah Al-Naml: 91
3. Hadis Riwayat: Muslim
4. Sofiyurrahman al-Mubarakfuri. Raheeq al-Makhtum
5. Website: https://muftiperlis.gov.my/index.php/bahagian-fatwa/panduan-hukum/474-hukum-solat-di-atas-sejadah-yang-bergambar-ka-bah
6. Website: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1638-hukum-bersolat-di-atas-sejadah-bergambar-ka-abah
7. Hadis Riwayat: Abu Daud
8. Hadis Riwayat al-Bukhari
9. Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab
10. Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin. ‘Majmu al-Fatawa

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *