TERBUNUHNYA JIN ‘UZZA DI TANGAN KHALID AL-WALID
- 05/03/2024
- admin
- Comment: 0
- Aqidah, Dakwah, Hadis, Kisah Inspirasi, Pendidikan Agama, Sejarah Islam, Sunnah
Firman Allah S.W.T.:
أَفَرَأَيْتُمُ اللاتَ وَالْعُزَّى (19) وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الأخْرَى (20)
Maksudnya: “Maka apakah patut kamu (hai orang-orang musyrik) menganggap Al-Lata dan Al-Uzza, dan Manat yang ketiga.”-1-
Sebelum kelahiran Nabi Muhammad terdapat terlalu banyak berhala di tanah Arab, sehigga “Masjidil Haram juga dipenuhi dengan berhala. Ketika Rasulullah menakluk Mekah, baginda mendapati 360 berhala di sekitar Kaabah.”-2-
Ibnu Katsir berkata: “Hanya ketiga macam berhala inilah yang disebutkan secara nas di dalam Kitabullah karena ketiganya merupakan berhala yang paling terkenal melebihi yang lainnya.”-3-
Kedudukan geografi dan kaum yang memuja patung itu juga berbeza. Adapun “patung berhala bangsa Arab yang paling tua ialah Manat. Patung itu adalah untuk kaum Huzail dan Khuzaah yang terletak di Musyallal, sebuah daerah tepi pantai Laut Merah.
Berhala Latta di Taif bagi kaum Thaqif yang terletak pada bahagian kiri menara masjid Taif.
Dan Berhala Uzza pula terletak di Lembah Nikhlah al-Syamiah pada atas pohon kayu. Berhala itu bagi kaum Quraisy, Bani Kinanah serta kebanyakan kabilah yang lain.”-4-
Dinamakan “manat (مناة) kerana darah-darah sembelihan haiwan korban dialirkan di sisinya.”-5-
Asal usul nama Latta sebagai mana diriwayatkan oleh al-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Abu Shalih mereka berkata:
كان رجلا يَلُتّ السويق للحاج فلما مات عكفوا على قبره فعبدوه
Maksudnya “Al-Latta dahulu adalah seorang lelaki yang membuat adunan roti (yang dibahagikan secara percuma) kepada jama’ah haji. Ketika dia meninggal dunia, orang ramai beri’tikaf di kuburnya dan menyembahnya”-6-
Berkenaan nama Uzza, Ibnu Katsir menukilkan bahawa “al-Uzza berakar dari kata Aziz, pada mulanya merupakan sebuah pohon yang dibuatkan bangunan di sekelilingnya dan juga diberi kain kelambu, terletak di kampung Nakhlah, iaitu sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Taif, dahulu orang-orang Quraisy mengagungkan bangunan tersebut.”-7-
Al-Nasa’i meriwayatkan dari Abu Al-Thufail, beliau bercerita:
لمَاَّ فَتَحَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَّ مَكَّةَ بَعَثَ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيْدِ إِلَى نخَلْةَ ٍوَكَانَتْ بِهَا الْعُزَّى فَأَتَاهَا خَالِدٌ وَكَانَتْ عَلَى ثَلَاثِ سَمُرَاتٍ فَقَطَعَ السَّمُرَاتِ وَهَدَمَ الْبَيْتَ الَّذِي كَانَ عَلَيْهَا ثُمَّ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ
Maksudnya: “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menakluk kota Mekah, beliau mengutus Khalid bin al-Walid ke daerah Nakhlah, tempat keberadaan berhala ‘Uzza. Akhirnya Khalid mendatangi ‘Uzza, dan ternyata ‘Uzza adalah tiga buah pohon Samurah.
Khalid pun menebang ketiga buah pohon tersebut. Ketiga buah pohon tersebut terletak di dalam sebuah rumah. Khalid pun menghancurkan bangunan rumah tersebut. Setelah itu Khalid menghadap Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Nabi SAW berkata:
ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ تَصْنَعْ
Maksudnya: Kembalilah ke sana karena engkau belum berbuat apa-apa.’
Akhirnya Khalid kembali. Tatkala para juru kunci ‘Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang ada di dekat lokasi sambil berteriak, “Wahai ‘Uzza. Wahai ‘Uzza.” Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung, ternyata ‘Uzza itu berbentuk perempuan telanjang yang mengurai rambutnya.
Dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun menghayun pedang ke arah jin perempuan ‘Uzza sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi SAW dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Nabi SAW berkata:
تِلْكَ العُزَّى
Maksudnya: “Ya, itu baru ‘Uzza.”-8-
Sehebat-hebat Khalid al-Walid serta ketokohannya yang luar biasa, beliau tetap pernah alami mimpi buruk hingga Khalid bin Walid bertemu Nabi SAW dan berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Aku telah bermimpi buruk!” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Bacalah:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُون
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari kemurkaan-Nya, hukuman-Nya, dari kejahatan hamba-Nya dan dari bisikan syaitan serta kehadirannya.” -9-
“Setelah berlalu beberapa malam, datang Khalid bin al-Walid dan dia berkata: Tidaklah aku sempurnakan kalimat (doa) yang telah kau ajarkan padaku tiga kali;
حتى أذهب الله عني ما كنت أجد، ما أبالي لو دخلت على أسد في حبسه بليل
“Sehingga Allah telah hapuskan dariku akan apa yang telah aku alami sebelum ini, tidaklah aku peduli sekiranya aku masuk ke dalam kandang singa di waktu malam.”-10-
Terdapat banyak riwayat mengenai keberanian menghadapi jin. Rasulullah SAW pernah cekik jin, Abu Hurairah RA pernah tangkap jin. Tabi’in Mujahid pernah kejar jin sehingga terjatuh jin itu.
Ini semua kerana tauhid yang kuat serta keyakinan yang teguh terhadap sunnah. Contohnya, doa hindar mimpi ngeri yang dibaca oleh Khalid al-Walid itu disertai dengan keyakinan pada sunnah.
Bukan semata-mata doa, bahkan kerana keyakinan Khalid al-Walid pada Allah sangat luar biasa, sebagaimana diriwayatkan oleh beberapa kitab sirah yang menyatakan bahawa:
“Ibn al-Baqilah memiliki sebuah serban yang bahagian tengahnya tergantung sebuah beg atau bekas. Lalu Khalid al-Walid mengambil dan bertanya kepada Amru, apakah ini? Lalu dijawab bahawa itu adalah racun.
Lalu Khalid bertanya, mengapa engkau menyimpan racun? Maka dijawab, sekiranya aku melihat kebaikan pada kaum ku, maka aku memuji Allah. Andai sebaliknya yakni aku melihat penderitaan, maka aku menamatkan sisa hidupku dengan racun ini.
Khalid al-Walid segera membidas dengan mengambil racun ini, lantas membaca bismillah lalu minumnya. Dan tidak terjadi apa-apa pun kepada Khalid al-Walid. Kerana keyakinannya pada Allah yang mematikan dan menghidupkan, bukan racun.”-11-
Sebagai rumusan, kita wajar hindari menghias kubur, kerana khuatir lama-kelamaan akan dipuja pula kubur itu.
Kita juga wajib percaya bahawa jin itu wujud dan ia boleh mengganggu manusia. Namun yang lebih wajar kita contohi ialah keberanian sahabat menghadapi jin.
Selain doa perlindungan diri, penting juga kita yakin dengan doa tersebut dan murni bersihkan akidah kita dari syirik; iaitu dari takut kepada makhluk, kepada hanya takut kepada pencipta makhluk semata.
Sekiranya alami mimpi buruk atau terkena gangguan, maka bacalah:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُون
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari kemurkaan-Nya, hukuman-Nya, dari kejahatan hamba-Nya dan dari bisikan syaitan serta kehadirannya.”
Wallahualam
Editor: Loha
24 Syaaban 1445H
NOTA HUJUNG:
1. QS. al-Najm: 19-20
2. Sofiyurrahman al-Mubarakfuri. Raheeq al-Makhtum.
3. Tafsir al-Quran al-Adzhim
4. Sofiyurrahman al-Mubarakfuri. Raheeq al-Makhtum.
5. Tafsir al-Nasafi
6. Jāmiʿ al-bayān ʿan taʾwīl āy al-Qurʾān
7. Tafsir al-Quran al-Adzhim
8. Sunan al-Kubro
9. Malik bin Anas. Al-Muwatho
10. Tambahan ini palsu, sebagaimana dinyatakan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Da’ifah.
11. Musnad Ibn Abi Syaibah, disahihkan/hasankan oleh Ibn al-Taimiyah dan al-Zahabi.