USAH BIAR PAHALA SELAWAT SIA-SIA
- 22/02/2024
- admin
- Comment: 0
- Dakwah, Hadis, Ibadah, Pendidikan Agama, Sastrawan Islam, Sunnah
Terdapat banyak hadis ajarkan sifat selawat Nabi SAW. Imam Ibn Katsir ketika mentafsirkan ayat 56 surah al-Ahzab membawa tidak kurang dari enam lafaz selawat.
Antara hadis sifat selawat yang diriwayatkan oleh sahabat; Ka’ab bin ‘Ujrah RA, Abu Humaid As Saa’diy RA, Abi Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (dua riwayat), Abi Sa’id Al-Khudri RA, Abu Hurairah RA, Tolhah bin ‘Ubaidullah RA dan dari seorang lelaki dalam kalangan sahabat Nabi SAW.
Walaupun terdapat variasi selawat yang pelbagai, rata-rata masyarakat umum hanya beramal satu versi selawat sahaja yang sahih dari Nabi SAW. Kenapa? Adakah berpunca kerana ustaz-ustaz selebriti lebih suka popularkan selawat yang bukan dari Nabi SAW?
Apabila turun ayat al-Quran memerintahkan supaya berselawat, maka para sahabat terus berjumpa Nabi SAW dan bertanya tatacara berselawat.
Sedang, ada dalam kalangan mereka pakar syair, namun tiada di antara mereka yang mereka (cipta) selawat syifa atau tafrijiyah. Al-Hafiz Ibn al-Hajar berkata:
“Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka bertanya kepada baginda, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Nabi SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” (Fath al-Bari).
Dalam kitab Mestika Hadis turut menyebut: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat.
Ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”
Bahkan imam al-Nawawi mengkritik orang yang menambah walau satu perkataan dalam lafaz selawat, katanya:
“Nabi SAW telah mengajarkan kita tatacara berselawat kepada baginda. Oleh kerana itu, tambahan yang ada merupakan tambahan kepada sabda Nabi SAW.” (Al-Azkar)
Bidasan ini kepada orang yang menambah satu perkataan dalam selawat, bagaimana pula dengan mereka yang menjadikannya lagu, lalu disebut itu adalah berselawat?
Imam Ibn al-Qayyim menukilkan hampir “50 nama sahabat Nabi SAW yang meriwayatkan hadis mengenai selawat. Dan terdapat 8 lafaz selawat yang sabit dari Nabi SAW.” (Diadaptasi dari Jalal al-Afham).
Maka pelbagaikan selawat dan zikir dari kitab-kitab yang sahih.
Sesungguhnya ahli Sunnah tidak pernah jemu berselawat dan zikir dengan apa diajarkan Nabi SAW. Sebaliknya ahli bidaah, tidak pernah puas menyelisihi ajaran Nabi SAW, para sahabat dan imam 4 mazhab. Imam Taj al-Din al-Subki berkata:
أحسن ما يصلى به على النبي بهذه الكيفية التي في التشهد قال: ومن آتى بها فقد صلى على النبي بيقين، ومن جاء بلفظ غيرها فهو من إتيانه بالصلاة المطلوبة في شك، لأنهم قالوا كيف نصلي عليك؟
Maksudnya: “Selawat yang terbaik adalah cara selawat dengan lafaz ini yakni lafaz dibaca dalam tasyahud. Dan siapa berselawat dengan lafaz ini maka ganjarannya adalah pasti diterima seperti dijanjikan.
Adapun orang selawat dengan selain lafaz ini yang di buat untuk selawat, padanya syak (ragu-ragu akan penerimaan pahala). Kerana sahabat bertanya bagaimana tatacara berselawat (dan Nabi SAW ajarkan lafaz tersebut yakni lafaz dalam tasyahud).” (Tabaqat al-Syafieyah al-Kubra)
Yang sahih dan sabit dari Nabi SAW belum sempat diamal habis, janganlah pula buang masa dengan amal sesuatu yang bukan dari amalan Nabi SAW.
Kerana pahala hanya diterima jika amalan itu dari ajaran Nabi SAW, sebaliknya jika bukan, maka tiada jaminan pahala.
Editor: Loha
12 Syaaban 1445H