USTAZ PAKAI BANGLE DAN RANTAI TASBIH
- 11/03/2024
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Dakwah, Fiqh, Hadis, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama
Lazimnya kita mengetahui bahawa lelaki dilarang pakai gelang tangan ataupun rantai leher. Ini sebagaimana disebutkan dalam laman sesawang JAKIM:
“Pemakaian gelang atau rantai tangan bagi wanita adalah harus kerana ia merupakan perhiasan yang dikhususkan bagi mereka. Ini adalah hukum yang disepakati secara ittifaq. Sebaliknya, diharamkan bagi lelaki untuk memakainya sebagai perhiasan semata-mata kerana ia menyerupai wanita.
Pemakaian gelang atau rantai tangan bagi lelaki atau wanita yang disertai dengan niat untuk bermegah-megah atau kelihatan bergaya bagi lelaki adalah haram walaupun dengan tujuan perubatan.” -1-
Bekas Mufti Wilayah Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata mengenai hukum pemakaian rantai bagi lelaki:
“Diharamkan bagi lelaki untuk memakai rantai leher sebagai perhiasan, tidak kira ia diperbuat daripada apa pun seperti perak, kain, kulit dan sebagainya. Hal ini kerana rantai leher pada asasnya termasuk dalam barang perhiasan yang khusus bagi wanita, dan lelaki yang memakainya secara tidak langsung telah termasuk dalam larangan lelaki menyerupai wanita sebagaimana yang sabit dalam nas yang sahih.” -2-
Namun budaya pemakaian gelang dan rantai ini seakan sedang dinormalisasikan oleh golongan bergelar ustaz, dengan alasan mereka pakai itu adalah biji tasbih.
Gelang dan rantai merupakan perhiasan wanita, sebagaimana ditafsirkan pada firman Allah S.W.T:
{وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا}
Maksudnya: “…dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) tampak darinya. -3-
Ibnu Mas’ud berkata: Ada dua macam, iaitu perhiasan yang tidak boleh diperlihatkan kecuali hanya kepada suami, seperti cincin dan gelang. Dan perhiasan yang boleh terlihat oleh lelaki lain, iaitu bahagian luar dari pakaiannya.” -4-
Ibn Jarir al-Thabari berkata: “…perhiasan yang boleh dinampakkan adalah wajah dan kedua pergelangan tangan. Termasuk celak, cincin, gelang dan inai.” -5-
Dari dua penafsir ini, kita dapati bahawa gelang merupakan perhiasan wanita, bukan lelaki. Dan, lelaki dilarang menyerupai wanita, Ibnu Abbas berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan para wanita yang menyerupai lelaki.” -6-
Penyerupaan yang ditegah termasuklah menyerupai dari aspek perhiasan khusus wanita. Syeikh Badr al-Din al-‘Aini berkata dalam syarahannya pada hadis ini:
وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط
Maksudnya: “(Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, RANTAI, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting.” -7-
Termasuk kategori dosa besar apabila lelaki menyerupai wanita, ini sebagaimana disebut dalam kitab kontemporari mazhab al-Syafie iaitu Fiqh al-Minhaj:
“Lelaki menyerupai wanita berlaku dalam bentuk pakaian dan perhiasan, seperti GELANG TANGAN, anting-anting dan KALUNG.
Hukum kedua-dua jenis penyerupaan adalah haram, bahkan termasuk dosa besar kerana wujud pelaknatan terhadap pelakunya.”-8-
Mengulas lebih lanjut, salah seorang jaguh mazhab al-Syafie iaitu Syaikh Zakaria al-Anshari rahimahullah berkata:
وَلِلرَّجُلِ لُبْسُ خَاتَمِ الْفِضَّةِ لِلْإِتْبَاعِ وَالْإِجْمَاعِ ، بَلْ يُسَنُّ له كما مَرَّ … ، لَا لُبْسُ السِّوَارِ ، بِكَسْرِ السِّينِ وَضَمِّهَا ، وَنَحْوِهِ ، كَالدُّمْلُجِ وَالطَّوْقِ ؛ فَلَا يَحِلُّ له ، وَلَوْ من فِضَّةٍ ؛ لِأَنَّ فيه خُنُوثَةٌ لَا تَلِيقُ بِشَهَامَةِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Lelaki boleh menggunakan cincin perak atas dasar ikuti Nabi SAW dan dibenarkan secara ijma’. Bahkan hukumnya sunnah sebagaimana telah kami jelaskan.
Dan lelaki tidak boleh menggunakan gelang. Seperti gelang yang disebut dengan ‘bangle’ atau rantai adalah tidak halal bagi lelaki. Walaupun gelang tersebut dari perak. Kerana memakai gelang itu terdapat unsur kewanitaan, tidak sesuai dengan sikap lelaki.”-9-
Sarjana hebat turut mengemukakan pendapat haram kepada lelaki yang pakai gelang, al-Nawawi berkata:
“Jumhur ulama mengharamkan lelaki memakai gelang… dan pendapat yang lebih sahih ialah pandangan jumhur, bahawa memakai gelang ialah haram bagi lelaki.” -10-
Berkata lagi tokoh bernama Ibn Hajar al-Haitami:
يَحْرُمُ التَّشَبُّهُ بِهِنَّ [ أي : بالنساء ] بِلُبْسِ زِيِّهِنَّ الْمُخْتَصِّ بِهِنَّ اللَّازِمِ في حَقِّهِنَّ كَلُبْسِ السِّوَارِ وَالْخَلْخَالِ وَنَحْوِهِمَا بِخِلَافِ لُبْسِ الْخَاتَمِ .
Maksudnya: “Diharamkan menyerupai wanita dengan menggunakan perhiasan yang khusus bagi wanita, yang terus-menerus digunakan oleh para wanita. Seperti menggunakan gelang tangan, gelang kaki atau semisalnya. Adapun menggunakan cincin maka boleh.”-11-
Ramai tokoh seperti al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Zakariya al-Anshari dan lain-lain telah menyatakan bahawa lelaki haram pakai gelang mahupun rantai. Bahkan memakainya boleh menjerumuskan pemakainya ke lembah dosa besar.
Belum lagi kita bahas mengenai hukum apakah meletakkan tasbih di tangan termasuk riak atau tidak? Bukankah agama menyuruh kita sembunyikan ibadah (sunnah), atau hendak pamerkan diri rajin zikir dengan memperlihatkan alat zikir pada khalayak?
Tiada walau satu riwayat dari Nabi SAW atau para sahabat atau imam mazhab menjadikan biji tasbih sebagai gelang atau kalung. Sebaliknya artis barat ramai pakai ‘bangle’ dan rantai.
Tidaklah menjadikan tukar ‘bangle’ kepada tasbih, maka hukum juga akan bertukar, sebaliknya akan kekal larangan tersebut walau siapa pun pemakainya.
Wallahualam
Editor: Loha
1 Ramadan 1445H
_____________________________________
1. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10578
2. https://maktabahalbakri.com/2250-lelaki-memakai-rantai-ketika-berbusana-tradisional/#:~:text=Oleh%20itu%2C%20haram%20bagi%20kaum,perak%20termasuk%20di%20bawah%20perhiasan
3. QS An-Nur: 31
4. Tafsir al-Quran al-‘Adzhim
5. Jāmiʿ al-bayān ʿan Taʾwīl al-Qurʾān
6. HR Sahih al-Bukhari
7. Umdah al-Qari
8. Fiqh al-Manhaji
9. Asna al-Mathalib
10. Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab
11. Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra