WANITA JADI IMAM SOLAT KEPADA LELAKI

3 Views

ISI KANDUNGAN:

1. Pendahuluan
2. Pensahihan Yang Wajar Diteliti
3. Perawi Dhaif Dalam Sanad
4. Teks Yang Tidak Jelas
5. Pendapat Yang Syaz
6. Mengimami Jemaah Wanita Sahaja
7. Hukum Hamba Dan Merdeka Berbeza
8. Bercanggah Dengan Fakta
9. Beberapa Perkara Penting
10. Kesimpulan

1. PENDAHULUAN

Kebanyakan orang yang berpendapat bahawa wanita boleh menjadi imam solat kepada lelaki adalah berdasarkan hadis Ummu Waraqah. Tidak ketinggalan beberapa tokoh juga bersetuju dengan pandangan ini.

Oleh itu, kita akan perincikan isu hadis Ummu Waraqah dari sudut kesahihan dan dari aspek memahami hadis. Hadis yang dimaksudkan ialah:

وَأَمَرَ أَنْ يُؤَذَّنَ لَهَا وَتُقَامَ، وَتَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا فِي الْفَرَائِضِ

Maksudnya: “Rasululullah SAW memerintahkan seseorang untuk azan dan iqamah untuk Ummu Waraqah, dan Waraqah mengimami keluarganya melaksanakan solat fardhu.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Hakim, Darulqutni, al-Tabrani dan al-Baihaqi.

2. PENSAHIHAN YANG WAJAR DITELITI

Hadis ini disahihkan oleh Ibn al-Khuzaimah. Namun pensahihan beliau masih boleh dipersoalkan. Sebagaimana dikatakan Syeikh Muhammad Solah al-Munajjid:

تصحيح ابن خزيمة للحديث لا يعني أن الحديث صحيح عند جميع العلماء ، لأن مثل هذه المسائل مبناها على النظر والاجتهاد ؛ فما يراه ابن خزيمة صحيحا ، قد يخالفه فيه غيره من أهل العلم ويرى تضعيفه ، وعدم صلاحيته للاحتجاج ، لقيام العلة القادحة في نظره

Maksudnya: “Pensahihan hadis oleh Ibn al-Khuzaimah tidaklah bermakna hadis tersebut adalah sahih di sisi semua ulama. Apa dilihat sahih oleh Ibn al-Khuzaimah mungkin dilihat dhaif oleh tokoh lain.”

Ini kerana Ibn al-Khuzaimah termasuk dalam kategori muhadith yang bermudah-mudah mensahihkan sesebuah hadis atau disebut sebagai متساهلون.

3. PERAWI DHAIF DALAM SANAD

Perincian sanad, selepas Ummu Waraqah, ia akan bertemu beberapa perawi yang diselisihkan kredibiliti mereka.

Sanad hadis ini akan bertemu dengan tabi’in (perawi) bernama Abdurrahman bin Khalaad. Di mana Ibn Hajar al-Asqalani menghukumnya sebagai perawi majhul (tidak dikenali).

Sama juga pada sanad kedua yang bertemu Laila binti Malik yang juga seorang perawi majhul.

Kemudian, kedua perawi (tabi’in) ini akan bertemu dengan perawi (tabi’ tabi’in) bernama al-Walid bin Jami’.

Beliau ini (al-Walid bin Jami’) selain dituduh sebagai syi’ah, beliau juga dikategorikan sebagai “shuduq” oleh Ibn Hajar al-Asqalani dan Ibn al-Hibban menggolongkan beliau dalam perawi dhaif.

Mana-mana hadis yang dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak dikenali (majhul) maka hadis tersebut menjadi dhaif. Apatah lagi jika ditambah wujud pula perawi yang lemah dalam sanad yang sama. Dan, hadis dhaif tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum-hakam.

4. TEKS YANG TIDAK JELAS

Al-Syarbashi berkata: “Jumhur fuqaha menolak pendapat wanita jadi imam kepada lelaki dengan berhujah bahwa hadis ini tidak jelas. Ia tidak menerangkan sama ada muazzin solat tersebut juga mengerjakan solat dibelakang Ummu Waraqah, kerana boleh jadi dia hanya azan kemudian pergi ke masjid dan solat bersama lelaki-lelaki.” (Yas’aluunaka fi al-Din)

Mari perhatikan lafaz digunakan dalam teks hadis ialah ahli rumahnya (أَهْلَ دَارِهَا). Tidak sebut ahli keluarganya.

Jika kita andaikan hadis ini sahih sekalipun, cara memahaminya juga perlu sahih (benar). Sebagaimana dikatakan oleh Syaikh Musthofa al-Adawi:

“Seandainya hadis ini sahih pun sebagaimana dinyatakan, namun matannya tidak membenarkan wanita mengimami solat Jumaat di hadapan lelaki yang banyak, sebab Rasulullah SAW hanya memerintahkannya mengimami solat di rumahnya untuk keluarga dan orang yang dirumahnya. Itupun mungkin perintah itu khusus untuknya, sebab tidak disyariatkan azan dan iqomah pada wanita selain beliau.” (Jami’ Ahkam Al Nisa’)

5. PENDAPAT YANG SYAZ

Pendapat syaz dalam fiqh tidak boleh dijadikan hukum. Imam Ibn al-Rusyd berkata:

اختلفوا في إمامة المرأة، فالجمهور على أنه لايجوز أن تؤم الرجال…وشذ أبو ثور والطبري فأجاز إمامتها على الإطلاق

Maksudnya: “Para ulama berbeza pendapat tentang imam perempuan. Majoriti ulama berpendapat tidak diperbolehkan perempuan mengimami makmum lelaki…Abu Tsaur dan al-Thabari berpendapat di luar kebiasaan (syaz) bahawa perempuan boleh mengimami secara mutlak baik makmum perempuan mahupun lelaki.” (Bidayah al-Mujtahid)

Al-Shan’ani berkata:

والظاهر أنها كانت تؤمه وغلامها وجاريتها وذهب إلى صحة ذلك أبو ثور والمزني والطبري وخالف في ذلك الجماهير.

Maksudnya: “Zahirnya (hadis Ummu Warqah) menjadi imam kepada seorang budak dan seorang hamba. Abu Tsaur, al-Muzanni dan Tabrani menyatakan sah (wanita jadi imam), namun majoriti tidak menyetujui hal tersebut.” (Subulussalam)

Pendapat membolehkan wanita jadi imam bukan sahaja dianggap syaz bahkan ditentang pula oleh majoriti sarjana. Maka tidak wajar beramal dengan pendapat ini.

6. MENGIMAMI JEMAAH WANITA SAHAJA

Jika pendapat imam Tabrani, Abu Tsaur dan al-Muzanni dianggap syaz (janggal), lalu apakah pendapat yang benar? Imam Darulqutni yang meriwayatkan hadis Ummu Waraqah sendiri memberi penjelasan dengan katanya:

ولا نجد في مثل هذا الخبر ما يدل على صحة إمامة المرأة للرجل. والصحيح أن أم ورقة كانت تؤم النساء فقط. وفي هذا أخرج الدارقطني بإسناده عن أم ورقة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم “أذن لها أن يؤذن لها ويقام وتؤم نساءها.

Maksudnya: “Dan kami tidak dapati pada seumpama khabar ini yang menunjukkan sah imam perempuan kepada lelaki. Dan yang sahih bahawa hadis Ummu Waraqah yang menjadi imam hanya untuk perempuan sahaja.” (Sunan Darulqutni)

Maka difahami, bahawa yang benar adalah Ummu Waraqah mengimami makmum wanita sahaja. Bahkan kenyataan ini juga disokong oleh al-Syaukani dalam Nail al-Authar. Dan berkata imam al-Nawawi:

فتصح إمامة المرأة للنساء عندهم، بدليل ما روي عن عائشة وأم سلمة وعطاء: أن المرأة تؤم النساء، وروى الدارقطني عن أم ورقة: أنه صلّى الله عليه وسلم «أذن لها أن تؤم نساء دارها». ولا تكره عند الشافعية جماعة النساء، بل تستحب وتقف وسطهن

“Adalah sah imam perempuan kepada perempuan sahaja di sisi mereka berdasarkan dalil apa yang diriwayatkan daripada Aisyah, Ummu Salamah dan ‘Ata’ ‘bahawa perempuan boleh menjadi imam kepada wanita-wanita’.

Begitu juga sebagaimana riwayat al-Daruqutni daripada Ummu Waraqah bahawa “Nabi SAW mengizinkannya untuk menjadi imam kepada wanita-wanita rumahnya.

Dan tidak makruh di sisi Syafi’iyyah berjamaah di kalangan wanita, bahkan sunat, dan imam hendaklah berdiri di hadapan tengah mereka (sekadar terkeluar ke hadapan sedikit daripada saf pertama).” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab)

Walaupun anak murid imam al-Syafie iaitu al-Muzanni dan Abu Tsaur berpendapat boleh wanita jadi imam kepada lelaki, namun guru mereka iaitu imam al-Syafie sendiri berkata:

وَإِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ بِرِجَالٍ وَنِسَاءٍ وَصِبْيَانٍ ذُكُورٍ فَصَلَاةُ النِّسَاءِ مُجْزِئَةٌ وَصَلَاةُ الرِّجَالِ وَالصِّبْيَانِ الذُّكُورِ غَيْرُ مُجْزِئَةٍ

Maksudnya: “Apabila menjadi imam seorang wanita kepada kumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak lelaki, nescaya solat perempuan tadi sah dan memadai, manakala sebaliknya solat kumpulan lelaki dan kanak-kanak lelaki tidak sah.” (Al-Umm)

Al-Shan’ani berkata:

وأولوا الحديث على أنها تصلي بنساء أهل بيتها كما قاله الدارقطني وغيره من كبار الأئمة.

Maksudnya: “Hadis Ummu Waraqah bermaksud beliau menjadi imam kepada penghuni wanita di rumahnya, inilah dinyatakan oleh Darulqutni dan selainnya dari kalangan imam yang besar.” (Subulussalam).

7. HUKUM HAMBA DAN MERDEKA BERBEZA

Ummu Waraqah disebut syahidah walau tidak ke medan perang. Kerana beliau berniat hendak menyertai perang Badar, namun dibunuh oleh hamba yang ia miliki. Sebagaimana diriwayatkan:

وَكَانَتْ قَدْ قَرَأَتْ الْقُرْآنَ فَاسْتَأْذَنَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تَتَّخِذَ فِي دَارِهَا مُؤَذِّنًا فَأَذِنَ لَهَا قَالَ وَكَانَتْ قَدْ دَبَّرَتْ غُلَامًا لَهَا وَجَارِيَةً فَقَامَا إِلَيْهَا بِاللَّيْلِ فَغَمَّاهَا بِقَطِيفَةٍ لَهَا حَتَّى مَاتَتْ

Maksudnya: “Dia adalah ahli Al-Quran, lalu dia meminta izin kepada Nabi SAW supaya diperbolehkan mengambil seorang muadzin di rumahnya. Lalu baginda mengizinkannya. Ia berkata, dia (Ummu Waraqah) membuat kedua hambanya yang lelaki dan perempuan sebagai hamba Mudabbar (hamba yang dijanjikan merdeka sepeninggal tuannya). Pada suatu malam, kedua hamba itu bangun dan pergi kepadanya, Ialu menyelubungkan sehelai kain menutupi mukanya sehingga wanita itu meninggal.” (Sunan Abu Daud)

Sekiranya kita menyatakan bahawa ada lelaki yang solat bersama menjadi makmum kepada Ummu Waraqah, maka lelaki itu adalah hamba. Ini berdasarkan riwayat di atas.

Hukum hamba dan orang merdeka adalah berbeza. Hamba tidak wajib solat hadir solat berjemaah termasuk solat Jumaat.

Maka tidak wajar samakan martabat hamba dengan merdeka. Maka orang merdeka tidak boleh sama sekali menjadi makmum kepada wanita.

8. BERCANGGAH DENGAN FAKTA

Isteri Nabi SAW iaitu Aisyah RA merupakan wanita yang Nabi sendiri menyatakan beliau faqih (bijak) serta menjadi salah satu tempat rujukan agama selepas kewafatan Nabi SAW.

Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa:

وَكَانَتْ عَائِشَةُ يَؤُمُّهَا عَبْدُهَا ذَكْوَانُ مِنْ الْمُصْحَفِ

Maksudnya: “Zakwan pernah mengimami Aisyah dengan membaca mushaf.”

Aisyah jelas lebih utama dan lebih faqih serta lebih hafal al-Quran, namun mendahulukan Zakwan yang membaca al-Quran dengan melihat mushaf ketika menjadi imam.

Tentunya hal ini menunjukkan tidak boleh wanita menjadi imam kepada kaum lelaki dalam solat. Dan terdapat larangan wanita jadi imam kepada lelaki. Diriwayatkan:

أَلَا لَا تَؤُمَّنَّ امْرَأَةٌ رَجُلًا

Maksudnya: “Ingatlah, tidak boleh seorang perempuan mengimami lelaki.” (HR. Ibn al-Majah. Dhaif)

Dalam hadis dari Abu Hurairah RA disebutkan Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik saf lelaki adalah saf hadapan dan seburuk-buruk adalah yang terakhir. Sebaik-baik saf perempuan adalah di akhir dan seburuk-buruk adalah saf hadapan.” (HR Muslim)

Anas bin Malik berkata:

صَلَّيْتُ أَنَا وَيَتِيمٌ فِي بَيْتِنَا خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأُمِّي أُمُّ سُلَيْمٍ خَلْفَنَا

Maksudnya: “Aku dan seorang anak yatim yang tinggal di rumah kami, pernah ikut solat di belakang Nabi SAW. Sementara ibuku, Ummu Sulaim, solat di belakang kami.” (HR al-Bukhari)

Ada beberapa perkara dalam hadis ini, antaranya ialah saf makmum kanak-kanak dan lelaki dewasa adalah sejajar atau sama. Kedua, wanita berada dibelakang lelaki walaupun lelaki itu adalah anak kecil (belum baligh).

Al-Shan’ani berkata: “Dan posisi perempuan tidak berada dalam satu saf dengan lelaki, tetapi berada pada safnya yang tersendiri di belakang.” (Subulussalam)

Iman al-Nawawi berkata:

فلا تصح إمامة المرأة والخنثى للرجال، لا في فرض ولا في نفل. أما إن كان المقتدي نساء فلا تشترط الذكورة في إمامهن عند الشافعية والحنابلة

Maksudnya: “Tidak sah imam perempuan dan khunsa kepada lelaki, sama ada sembahyang fardhu atau sunat. Adapun jika yang mengikuti itu perempuan, maka tidak disyaratkan lelaki untuk menjadi imam mereka di sisi Syafi’iyyah dan Hanabilah.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab)

9. BEBERAPA PERKARA PENTING

Kaedah “Nabi tak pernah larang” adalah kaedah batil yang dicipta oleh mereka yang jahil.

Andai kenyataan itu digunakan tentu kelu lidah, kerana tiada larangan sahih dan sarih dari Nabi SAW melarang wanita jadi imam solat kepada lelaki. Namun agama tidak semurah itu. Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan berkata:

“Adapun wanita yang menjadi imam kepada orang lelaki di masjid (atau di luar rumahnya), maka hukumnya adalah tidak harus, sebagai mengikut pandangan jumhur ulama. Dalil yang menguatkannya ialah tidak pernah dinukilkan kepada kita walaupun sekali bahawa ada wanita yang pernah menjadi imam solat kepada jemaah lelaki (atau ada di antara makmumnya orang lelaki), sama ada pada zaman sahabat mahupun pada zaman tabi’in.” (al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim)

Terbatal juga kenyataan “jangan larang benda khilaf”, kerana bukan semua benda khilaf diterima, bahkan ada yang perlu dibantah dengan tegas.

Kerana wujud pelbagai khilaf dan bermacam pendapat sarjana. Andai semua dibiarkan asal ada, tentu akan berubah asal agama ini menjadi seperti agama lain.

Benda baik, bukan alasan untuk tidak dibantah. Antara solat dan menari, tentu solat adalah ibadah dan menari adalah maksiat.

Andai cara fikir ini masih kekal dalam minda, maka sukar nak bantah imam solat wanita, kerana solat adalah ibadah. Namun agama bukan selekeh itu, dengan kadar akal saja. Tetapi agama berpandukan nas.

Seorang tokoh ulama besar generasi tabi’in Sa’id bin al-Musayyab melihat seseorang solat setelah terbitnya fajar lebih dari dua rakaat, orang tersebut memperbanyak rukuk dan sujudnya. Maka Sa’id pun melarangnya. Lalu orang tersebut berkata, “Wahai Abu Muhammad (Sa’id bin al-Musayyab), adakah Allah mengazabku kerana aku mengerjakan solat?” Sa’id menjawab:

لا وَلَكِنْ يُعَذِّبُكَ عَلَى خِلافِ السُّنَّة

Maksudnya: “Tidak, akan tetapi (Allah) mengazab engkau kerana menyelisihi Sunnah.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq & Sunan al- Kubra oleh al-Baihaqi)

Oleh itu, ikutilah Sunnah yang sahih dan jauhi bidaah walau atas nama hasanah.

10. KESIMPULAN

Hadis Ummu Waraqah diperselisihkan kesahihannya dan andai dikatakan ianya sahih, maksudnya adalah wanita hanya boleh jadi imam kepada jemaah wanita sahaja. Ini berdasarkan hadis-hadis lain dan pendapat majoriti serta amalan sahabiyyah lain yang lebih aula, namun tetap jadi makmum.

Seandainya wanita hendak menjadi imam boleh, dengan syarat bacaannya bagus dan faqih serta makmum hanyalah wanita atau kanak-kanak yang belum mumayyiz.

Kenyataan ini dikuatkan dengan kenyataan Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman yang berkata:

“Walau dalam apa jua keadaan sekalipun termasuk suami tidak tahu membaca surah dalam solat atau terlantar sakit, wanita atau isteri tidak boleh menjadi imam sama ada solat fardhu atau sunat termasuk solat tarawih kecuali solat berjemaah itu dilakukan dalam kalangan wanita sahaja. Jika isteri yang menjadi imam solat berkenaan adalah sah baginya namun makmum yang mengikutnya adalah tidak sah.” (Akhbar Metro 23 April 2020)

Wallahualam

Editor: Loha
14 Syaaban 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *