YAQAZAH BERTEMU NABI SAW

19 Views

Yaqazah menurut Kamus Idris al-Marbawi bererti “jaga, ingat, sedar (bukan dalam keadaan mimpi).” Yaqazah dimaksudkan dalam perbahasan ini adalah, dakwaan bahawa “Nabi SAW hadir secara realiti, selepas kewafatan Nabi SAW.”

Kontroversi isu yaqazah muncul kerana salah faham sebuah hadis, iaitu:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ وَلَا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي

Maksudnya: “Barangsiapa melihatku dalam tidur, maka (seakan-akan) ia melihatku ketika terjaga, (kerana) syaitan tidak boleh menyerupaiku.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukil 6 pandangan dalam isu yaqazah, kemudian beliau membantah tentang bolehnya melihat Nabi SAW secara hakiki, dengan katanya:

وهذا مشكل جدا ولو حمل على ظاهره لكان هؤلاء صحابة ولأمكن بقاء الصحبة إلى يوم القيامة ، ويعكر عليه أن جمعا جما رأوه في المنام ثم لم يذكر واحد منهم أنه رآه في اليقظة وخبر الصادق لا يتخلف.

Maksudnya: “Ini suatu yang amat mustahil, kerana seandainya ada orang yang melihat Nabi SAW di waktu terjaga, tentu dia termasuk sahabat Nabi SAW. Bererti peluang untuk menjadi sahabat tetap berlangsung sehinga hari kiamat. Tentunya hal ini (yaqazah) sangat keliru.

Wujudnya ramai yang (mendakwa) mimpi bertemu Nabi SAW, tetapi tidak seorang pun mengaku berjumpa dalam keadaan sedar (bangun).” (Fath al-Bari)

Al-Nawawi berkata: Pada perkataan (سيراني في اليقظة) terdapat tiga pendapat, iaitu:

أحدها المراد به أهل عصره ومعناه أن من رآه في النوم ولم يكن هاجر يوفقه الله تعالى للهجرة ورؤيته صلى الله عليه وسلم في اليقظة عيانا. والثاني معناه أنه يرى تصديق تلك الرؤيا في اليقظة في الدار الآخرة لأنه يراه في الآخرة جميع أمته من رآه في الدنيا ومن لم يره. والثالث يراه في الآخرة رؤية خاصته في القرب منه وحصول شفاعته”.

Maksudnya: “Pertama: Orang hidup sezaman dengan Nabi SAW yang mimpi melihat Nabi SAW, maka Allah akan berikan taufik padanya untuk berhijrah dan melihat Nabi SAW secara di depan matanya.

Kedua: Siapa melihat Nabi dalam mimpi maka akan melihat Nabi pula pada keadaan terjaga di akhirat, kerana semua umat Nabi akan melihat Nabi di akhirat, baik yang pernah melihatnya di dunia ataupun yang tidak melihatnya di dunia.

Ketiga: Ia akan melihat Nabi di akhirat dengan penglihatan yang khusus iaitu dekat dengan Nabi dan akan memperoleh syafaatnya.” (Al-Minhaaj Syarh Sahih Muslim)

Dalam laman sesawang JAKIM pada tahun 2015, dinyatakan:

“Dakwaan seseorang melihat Nabi secara jaga (yaqazah) sama ada dalam bentuk hakiki ataupun ruh selepas kewafatan Baginda SAW tidak pernah dinukilkan melalui riwayat yang sahih berlaku kepada mana-mana sahabat RA, sekalipun ketika saat-saat getir, seperti ketika timbulnya perbezaan pendapat di kalangan mereka. Demikian juga generasi Tabi’ien dan Atba’ al-Tabi’ien.

Kemungkinan berlakunya yaqazah secara ruh adalah dakwaan yang diragui dan ditolak oleh para muhaqqiqin seperti al-Nawawi, Ibn Taimiyyah, Ibn Kathir, Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Sakhawi. Begitu juga al-Qusyairi.” (http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12473)

Ramai lagi ulama menolak bertemunya seseorang yang hidup dengan orang yang telah mati secara hakiki. Termasuklah melihat Nabi SAW secara nyata selepas kewafatannya.

Imam al-Qurtubi turut berkata mengenai isu yaqazah:

“Dalam makna hadis ini terdapat perbezaan; Sebahagian berpendapat sebagaimana zahirnya, iaitu barangsiapa yang melihat dalam mimpi, maka ia telah melihat secara hakiki sama seperti orang melihatnya di waktu terjaga, pendapat ini dapat diketahui kekeliruannya dengan dalil akal, kerana:

Tidak seorang pun yang melihatnya melainkan dalam bentuk saat beliau meninggal. Tidak mungkin ada dua orang yang bermimpi melihatnya secara jaga dalam waktu yang sama dalam dua tempat.

Bahawa ia hidup keluar dari kuburnya dan berjalan di pasar serta berbicara dengan manusia. Bahawa kuburnya kosong dari jasadnya, sehingga tidak tertinggal sesuatu di dalamnya, maka yang diziarahi hanya kubur semata (tanpa jasad) dan memberi salam kepada sesuatu tidak ada. Kerana ia mampu dilihat di sepanjang waktu; pagi dan petang secara hakiki di luar kuburnya.

Pendapat yaqazah secara hakiki adalah kebodohan, tidak akan berpegang dengannya siapa saja yang memiliki sedikit akal yang sihat.” (Fath al-Bari)

Abd al-Syam antara tokoh yang menolak bertemu Nabi SAW secara realiti. Kemudian menukil pendapat Al-Qisthallani yang juga merupakan pensyarah sahih al-Bukhari yang menyatakan:

“Pertama, orang (kafir) mimpi Nabi SAW, akan mendapat khabar gembira, bahwa dia akan mati dalam keadaan Muslim.

Kedua, orang yang melihatku dalam mimpi dan ia belum berhijrah, Allah memberi taufik kepadanya untuk berhijrah kepadaku dan mendapat kemuliaan menjumpaiku. Allah menjadikan mimpinya sebagai pertanda akan melihatku dalam keadaan terjaga (semasa Nabi SAW hidup).” (Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud)

Muhadith era ini iaitu Syeikh Nashiruddin al-Albani menukil pendapat salah seorang lagi pensyarah Sahih al-Bukhari iaitu Badr al-‘Aini dan komentarnya dalam bab yaqazah, katanya (Badr al-‘Aini):

أن المراد أهل عصره صلى الله عليه وسلم، أي من رآه في المنام وفقه الله للهجرة إليه والتشرف بلقائه صلى الله عليه وسلم.. “. ولكنني في شك من ثبوت قوله: ” فسيراني في اليقظة وذلك أن الرواة اختلفوا في ضبط هذه الجملة: ” فسيراني في اليقظة

Maksudnya: “Yang dimaksudkan adalah orang-orang di zaman Nabi Muhammad. Iaitu barangsiapa melihat beliau di dalam mimpi, maka Allah akan memberikan kemudahan untuk hijrah kepada beliau dan mendapatkan kemuliaan dengan bertemu beliau.

Tetapi sesungguhnya aku (Badr al-‘Aini) meragui kesahihan (riwayat) sabda beliau; “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga (sedar). Kerana kecelaruan pensabitan pada lafaz melihat.” (Silsilah al-Ahadis al-Sahihah)

Abu Bakar Ibn al-Arabi berkata: “Sebahagian orang soleh membawa pendapat ganjil, bahawa bolehnya bermimpi bertemu Nabi boleh terjadi dengan melihat dengan kedua mata kepala secara nyata.” (Fath al-Bari)

Jelas para sarjana membidas dakwaan bolehnya bertemu Nabi SAW secara realiti selepas kewafatan baginda.

Syeikh al-Islam Ibn al-Taimiyyah beberapa kali mengulang penafian pertemuan yaqazah secara berjaga hakiki dengan Nabi SAW, antara katanya:

فَرُؤْيَا الْأَنْبِيَاءِ فِي الْمَنَامِ حَقٌّ وَأَمَّا رُؤْيَةُ الْمَيِّتِ فِي الْيَقَظَةِ فَهَذَا جِنِّيٌّ تَمَثَّلَ فِي صُورَتِهِ…

ثُمَّ الرُّؤْيَا قَدْ تَكُونُ مِنَ اللَّهِ، فَتَكُونُ حَقًّا، وَقَدْ تَكُونُ مِنَ الشَّيْطَانِ، كَمَا ثَبَتَ تَقْسِيمُهَا إِلَى هَذَيْنِ فِي الْأَحَادِيثِ الصَّحِيحَةِ، وَالشَّيْطَانُ كَمَا قَدْ يَتَمَثَّلُ فِي الْمَنَامِ بِصُورَةِ شَخْصٍ فَقَدْ يَتَمَثَّلُ أَيْضًا فِي الْيَقَظَةِ بِصُورَةِ شَخْصٍ يَرَاهُ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، يُضِلُّ بِذَلِكَ مَنْ لَمْ يَكُنْ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ وَالْإِيمَانِ،

كَمَا يَجْرِي لِكَثِيرٍ مِنْ مُشْرِكِي الْهِنْدِ وَغَيْرِهِمْ إِذَا مَاتَ مَيِّتُهُمْ يَرَوْنَهُ قَدْ جَاءَ بَعْدَ ذَلِكَ وَقَضَى دُيُونًا، وَرَدَّ وَدَائِعَ وَأَخْبَرَهُمْ بِأُمُورٍ عَنْ مَوْتَاهُم، وَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ تَصَوَّرَ فِي صُورَتِهِ، وَقَدْ يَأْتِيهِمْ فِي صُورَةِ مَنْ يُعَظِّمُونَهُ مِنَ الصَّالِحِينَ، وَيَقُولُ: أَنَا فُلَانٌ، وَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ…

فَرُؤْيَتُهُ فِي الْمَنَامِ حَقٌّ، وَأَمَّا فِي الْيَقَظَةِ فَلَا يُرَى بِالْعَيْنِ هُوَ، وَلَا أَحَدٌ مِنَ الْمَوْتَى، مَعَ أَنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ قَدْ يَرَى فِي الْيَقَظَةِ مَنْ يَظُنُّهُ نَبِيًّا مِنَ الْأَنْبِيَاءِ، إِمَّا عِنْدَ قَبْرِهِ وَإِمَّا عِنْدَ غَيْرِ قَبْرِهِ.

Maksudnya: “Melihat para Nabi di dalam mimpi adalah haq (benar). Adapun melihat orang yang sudah mati dalam keadaan terjaga, maka ini adalah jin yang menjelma dalam bentuknya…

Kemudian, mimpi itu kadangkala benar datang dari Allah, sehingga ia merupakan mimpi yang benar. Namun kadangkala datang dari syaitan. Sebagaimana pembahagian dua ini telah disebutkan di dalam hadis-hadis yang sahih.

Dan syaitan kadangkala menjelma dalam mimpi dalam bentuk seseorang. Bahkan, kadangkala menjelma dalam keadaan terjaga dengan bentuk seseorang yang dapat dilihat orang ramai. Dengan itu dia akan menyesatkan orang yang tidak mempunyai ilmu dan iman.

Seperti terjadi di kalangan kaum musyrik India dan lainnya. Apabila ada seseorang meninggal dunia, maka setelah itu mereka melihatnya datang membayar hutang, mengembalikan barang titipan dan menceritakan tentang orang-orang mati di antara mereka.

Sesungguhnya itu adalah syaitan yang menjelma dalam bentuknya. Kadangkala syaitan datang dalam bentuk orang soleh yang mereka agungkan. Dan dia berkata: “Saya adalah si Fulan”, padahal sebenarnya dia adalah syaitan…

Melihat Nabi Muhammad dalam mimpi adalah benar, tetapi melihatnya dalam keadaan terjaga, maka beliau tidak mungkin dilihat dengan mata, demikian juga orang-orang lain yang telah mati.

Walapun banyak orang kadangkala melihat seseorang yang menurut prasangkanya adalah Nabi di antara para nabi. Kadangkala di dekat kuburannya atau dijauh dari kuburannya.” (Al-Jawab al-Sahih)

Ada beberapa persoalan yang wajar kita rasa hairan, iaitu dakwaan Nabi SAW hanya hadir pada majlis nyayian, qasidah dan suka-ria, tapi Nabi tidak hadir pada waktu paling genting untuk umat iaitu ketika perselisihan antara para sahabat semasa perang Siffin dan perang Jamal?

Semasa musim kemarau zaman Umar al-Khattab, mengapa Umar selaku sahabat Nabi tidak menyeru Nabi hadir dan doa minta hujan, sebaliknya Umar mencari orang dekat pertalian darah dengan Nabi yang masih hidup untuk doa agar turun hujan?

Terdapat banyak khilaf muktabar di kalangan imam 4 mazhab, antara khilaf ialah tempoh iddah 3 quru’. Sepatutnya Nabi hadir untuk memberikan jawapan tuntas antara dua tafsiran tersebut yang manakah benar, sama ada tiga kali suci atau tiga kali haid.

Juga hairan, Nabi lebih rela hadir pada majlis suka-suka, namun tidak hadir membantu jihad, membantu pendakwah Islam, membantu orang kebuluran? Apakah ini watak seorang Nabi atau rekaan para pengeksploitasi masyarakat?

Terdapat sahabat dan tokoh hadis lain yang terpaksa merantau untuk memastikan kesahihan sesebuah hadis. Mengapa Nabi tidak hadir untuk isu sebegini pada individu sehebat mereka, sebaliknya hanya hadir ke Yaman, Indonesia dan Malaysia di zaman ini?

Tak sempat jumpa Nabi SAW semasa hidup tidak mengapa, namun jangan sampai jumpa tapi dihalau Nabi kelak di akhirat. Aisyah RA berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وهو بين ظهراني أصحابه: (إني على الحوض، أنتظر من يرد علي منكم، فوالله ليقتطعن دوني رجال، فلأقولن: أي رب! مني ومن أمتي، فيقول: إنك لا تدري ما عملوا بعدك

Maksudnya: “Aku lebih dahulu dibanding kalian (sampai) di telaga. Ditunjukkan kepadaku (tentang telaga itu) beberapa orang di antara kalian. Ketika aku akan mengambilkan minuman untuk mereka dari telaga, mereka dijauhkan dariku. Lantas aku bertanya kepada Tuhanku: Ini adalah umatku (mengapa dijauhkan?). Lalu Allah berfirman: ‘Engkau sebenarnya tidak mengetahui bidaah yang mereka buat sesudahmu.” (HR Muslim)

Al-Syathibi berkata, “Mereka yang dihalau itu adalah orang murtad dan pelaku bidaah.” (Al-‘Ithisham)

Sebagai kesimpulan, bertemu dengan Nabi secara hakiki boleh, dengan dua syarat, pertama sezaman dan kedua di akhirat. Selain itu, hanya boleh bertemu dalam mimpi atau berhalusinasi sahaja.

Utamakan membela Sunnah dan menjauhi bidaah lebih dari bersungguh-sungguh membela bolehnya yaqazah secara nyata.

Semoga kita tidak menjadi manusia yang hanya bertemu Nabi SAW di akhirat hanya untuk dihalau, sebaliknya kita menjadi manusia yang mendapat syafaat Nabi dengan menjaga Sunnah, bukan mengamalkan bidaah dan mengharap syafaat Nabi SAW.

Wallahualam

Editor: Loha
29 Rejab 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *