ZIKIR ALLAH DAN HU TIDAK DIAMALKAN OLEH NABI SAW

79 Views

Tiada manusia yang waras akan melarang orang berzikir kepada Allah, namun yang wajar dipertikaikan ialah zikir dengan lafaz “Allah” secara tunggal.

Ini kerana manusia paling mengenali Allah SWT iaitu Nabi Muhammad SAW, namun tidak ada walau satu riwayat Nabi zikir lafaz “Allah…Allah” semata.

Bahkan tiada mana-mana sahabat atau imam 4 mazhab berzikir dengan lafaz “Allah…Allah” atau “Hu…Hu”.

Mereka yang beramal atau mempertahankannya, amat wajar bertanya kepada diri sendiri, agama rekaan siapa ikutan anda? Kerana tiada dari Nabi, atau para sahabat atau imam 4 mazhab yang amal zikir “Allah…Allah” mahupun secara tunggal “Hu…Hu”.

Bahkan kumpulan zikir dan doa seperti di dalam kitab-kitab hadis yang enam, al-Azkar karya al-Nawawi, Tuhfah al-Zakirin karya al-Syaukani, Hisnul Muslim karya Ali Wahf al-Qathani, Ibn Hajar al-Asqalani dalam bab Zikir di Bulugh al-Maram dan selainnya tidak meriwayatkan atau mengajarkan zikir mufrod “Allah” apatah lagi zikir “Hu”.

Andai kita berfikir dengan baik, tentu jelas siapakah golongan yang menolak ulama dan siapa yang sekadar jual nama ulama sebagai ‘packaging’ ajaran mereka dan manipulasi orang awam.

Adapun hadis yang selalu dibawa sebagai syubhah oleh pejuang zikir tunggal ialah:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه
Maksudnya: “Tidak berlaku kiamat ke atas seseorang yang menyebut: Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.” (Riwayat Ahmad)

Mari kita renung hadis ini dengan lensa ulama, al-Munawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata beliau:

وليس المراد أن لا يتلفظ بهذه الكلمة ، بل أنه لا يذكر الله ذكرا حقيقيا ، فكأنه لا تقوم الساعة وفي الأرض إنسان كامل ، أو التكرار كناية عن أن لا يقع إنكار قلبي على منكر ؛ لأن من أنكر منكرا يقول عادة متعجبا من قبحه ” الله الله ” فالمعنى : لا تقوم الساعة حتى لا يبقى من ينكر المنكر

Maksudnya: “Bukanlah hadis ini bermaksud lafaz Allah tidak disebut langsung, tetapi ia tidak disebut secara hakiki, sebaliknya ia bermaksud bahawa tidak berlaku kiamat sedangkan dalam dunia insan yang sempurna imannya. Dan makna sebutan lafaz Allah merupakan kiasan mengenai manusia yang enggan mencegah kemungkaran apabila melihatnya.” (Faidh al-Qadir)

Jelas hadis tersebut tidak boleh dijadikan dalil zikir mufrod “Allah…Allah”, bahkan para ulama terdahulu dalam kalangan 4 mazhab, para ahli hadis, bahkan al-Nawawi sendiri yang menyusun buku zikir tidak berdalilkan hadis tersebut untuk zikir “Allah…Allah”.

Maka persoalannya, apakah manusia hari ini lebih faham dalil dari ulama terdahulu dan dari imam 4 mazhab sehingga sanggup melakukan ritual yang tidak dilakukan mereka?

Kita lihat pula senarai tokoh-tokoh yang membantah zikir mufrod ini, antaranya ialah Imam al-Syeikh Ibrahim al-Laqqani berkata:

“Terlebih afdal zikir (لا إله ألا الله) serta hadir maknanya, kerana nas kitab dan hadis dan kata jumhur Malikiyah daripada Maturidi RA.

Dan bid’ah orang zikir (الله الله) atau (هو هو) halnya atas demikian jua.

Dan kata Izz Ibn Abd al-Salam, maka zikir dengan (الله الله) halnya memendekkan atas demikian itu, maka iaitu daripada bid’ah yang (قبيه) buruk dan perbuatan orang yang bodoh.” (Syarah Matan Jauhara al-Tauhid)

Prof Dr. Hamka yang pernah menulis teguran suci buat mufti Johor ada menulis kitab tafsir, dan ketika menafsiran surah al-A’raf ayat 205, beliau berkata:

“Zikir yang dilakukan kebanyakan penganut ajaran tasawuf, sebagai ratib tahlil beramai-ramai, bersama-sama dengan suara yang keras, sampai amat asyik dan lupa diri, hingga terjadi jazab (hingga pengsan). Bukanlah zikir ajaran Nabi Muhammad SAW melainkan yang dibuat-buat kemudian (bid’ah) yang tidak berasal dari ajaran agama.

Zikir yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah tasbih (subahanallah), tahmid (alhamdulillah), tahlil (la ilaha illallah), takbir (allahuakbar), hauqalah (la haula wala quwalwata illa billah) dan istighfar (astaghfirullah).

Maka datanglah ahli-ahli tasawuf membuat berbagai zikir ciptaan sendiri, yang tidak berasal dari ajaran Allah dan Rasul.

Ada zikir yang hanya membaca “Allah” saja berkali-kali dengan suara keras, bersorak-sorak sehingga pengsan.

Ada zikir hanya “Hu” saja. Kerana kata mereka “huwa (هو)” yang bererti Dia, ialah Allah itu sendiri.

Kadang-kadang mereka adakan semacam demonstrasi sebagai penentangan terhadap orang yang teguh berpegang kepada sunnah.

Maka majlis zikir-zikir semacam itu adalah berasal dari luar Islam atau telah menyeleweng sangat jauh dari pangkalan Islam.” (Tafsir al-Azhar)

Syaikhul Islam Ibn al-Taimiyyah berkata:

والذكر بالاسم المفرد مظهرا ومضمرا بدعة في الشرع وخطأ في القول واللغة فإن الاسم المجرد ليس هو كلاما لا إيمانا ولا كفرا

Zikir dengan isi mufrad (satu kata), baik lahir (diucapkan) mahupun batin (dalam hati) adalah bidaah dalam syariat, salah secara etika berbicara, dan keliru secara bahasa. Kerana hanya satu kata, bukan kalam (kalimat sempurna), bukan iman dan bukan pula kekafiran.

وقد ثبت في الصحيح عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: أفضل الكلام بعد القرآن أربع وهن من القرآن:

Maksudnya: Terdapat dalam hadis sahih dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Ucapan yang paling afdal setelah Al-Quran ada 4, dan semuanya dari Al-Quran:

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر

“Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaaha illallah, dan Allahu akbar.”

Rasulullah SAW juga bersabda:

أفضل الذكر لا إله إلا الله

Maksudnya: “Zikir yang paling utama adalah Laa ilaaha illallah.” Dalam hadis lain, beliau bersabda,

أفضل ما قلت أنا والنبيون من قبلي: لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

Maksudnya: “Kalimat terbaik yang aku ucapkan dan diucapkan para nabi sebelumku adalah Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lah, lahul mulku wa lahul hamdu, wa huwa ‘ala kulli syaiin qadiir.” (Majmu’ al-Fatawa)

Sebagai kesimpulan, ketahuilah bahawa zikir-zikir sunnah masih banyak yang belum diamalkan, maka usahlah berpaling kepada zikir yang bidaah. Ingatlah syarat amalan diterima, firman Allah SWT:

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : … لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً…

Maksudnya: “…agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya…” (QS Hud:7)

Imam Ibn Katsir berkata:

ولم يقل: أكثر عملا بل { أَحْسَنُ عَمَلا } ولا يكون العمل حسنا حتى يكون خالصا لله عز وجل، على شريعة رسول الله صلى الله عليه وسلم. فمتى فقد العمل واحدا من هذين الشرطين بطل وحبط.

Allah tidak berfirman “siapa yang banyak amalnya” tetapi Allah berfirman “baik amalannya.” Sesuatu amalan tidak dihitung amalan yang baik sehingga amalan itu IKHLAS untuk Allah ‘Azza wa jalla, serta amalan itu MENEPATI SYARIAT RASULULLAH SAW. Sesiapa yang beramal sedang amalannya tidak menepati dua syarat ini, maka amalannya itu tidak diterima dan terhapus.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim)

Selain ghairah beramal, pastikan kesahihannya serta berusaha sebaik mungkin untuk ikut petunjuk Nabi SAW. Risaulah jika amalan yang banyak, namun tidak diterima kerana tidak tepat dengan petunjuk Nabi SAW. Alangkah rugi masa dan tenaga? Oleh itu, ikhlaskan hati dan ikutilah ajaran Nabi SAW.

Wallahualam

Editor: Loha
26 Rejab 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *