FIQAH TANPA TASAWUF?

FIQAH TANPA TASAWUF?

Masyhur sebuah ungkapan yang berbunyi:

من تفقه ولم يتصوف فقد تفسق ومن تصوف ولم يتفقه فقد تزندق

Maksudnya: “Siapa berfiqah namun tidak bertasawuf maka dia fasiq dan siapa bertasawuf tanpa fiqah, dia zindiq.” -dalam versi lain- Dan yang menggabungkan keduanya adalah benar.

Ucapan ini disandarkan pada Imam Malik bin Anas. Namun ia hanyalah klaim tanpa bukti dan masyhur tanpa kebenaran.

Antara kitab-kitab yang meriwayatkan kata-kata tersebut adalah seperti berikut:

1. Qawaid Tasawuf, Ahmad Zaruq
2. Mirqat al-Mafateh, Mulla Ali al-Qari
3. Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Syarh al-Zarqani

Pertama, kita perlu tahu bahawa Imam Malik wafat pada tahun 179 hijrah, sedangkan:

1. Ahmad Zaruq lahir 846 hijrah
2. Mulla Ali lahir 930 hijrah
3. Ali bin Ahmad bin Makramallah al-Saidi al-‘Adawi pada lahir 1112 hijrah

Maknanya, ketiga-tiga mereka tidak bertemu dengan Imam Malik dan tidak juga ada sanad / ‘chain of narration’ diletakkan sebagai penyambung antara mereka sehingga sampai bertemu kepada Imam Malik.

Kedua, ucapan tersebut juga tidak terdapat dalam mana-mana karya Imam Malik dan tidak pula diriwayatkan oleh anak murid besar beliau walau seorang pun.

Ketiga, terdapat anak didik Imam Malik, iaitu Imam al-Syafie yang keras mengkritik ilmu tasawuf. Ini lebih menambah keyakinan bahawa ilmu tasawuf tidak pernah diwariskan oleh Nabi SAW atau para sahabat atau imam mazhab sama sekali.

Dapat kita simpulkan bahawa ungkapan “Siapa berfiqah namun tidak bertasawuf…” bukan dari Imam Malik bin Anas yang wafat pada 179 hijrah.

Kerana tiada rekod pertemuan dicatatkan atau sanad dikemukakan. Dan tiada juga diucapakan atau ditulis oleh murid kanan dan pendukung fiqh beliau, bahkan tidaklah Imam Malik terlibat dengan jenama tasawuf sama sekali.

Kita harap tiada lagi manusia menjual nama Imam Malik untuk jenama tasawuf. Cukuplah kita tahu bahawa Imam 4 mazhab tidak ikuti mana-mana tarekat, tidak mengasaskan tarekat, tidak juga direkodkan mereka belajar atau mengajar tasawuf. Sebaliknya mereka terkenal dengan belajar dan mengajar hadis.

Maka jalan selamat adalah dengan belajar ilmu hadis serta disiplinnya seperti diqudwahkan oleh Imam Malik. Dan semestinya ilmu hadis menjamin kesejahteraan dan menyelamatkan manusia dari kesesatan.

Imam Malik meriwayatkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:

و تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Telah aku tinggalkan untuk kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selagi mana kalian berpegang teguh dengan keduanya; Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya.” (HR Malik, Al-Muwatho)

Wallahualam.

Editor: Loha
29 Syawal 1445H

Pelawat: 241
Hari ini: 4
Jumlah: 182219

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X