SUNNAH DI HARI RAYA

SUNNAH DI HARI RAYA

Imam Ibn al-Rejab al-Hanbali berkata:

ليس العيد لمن لبس الجديد إنما العيد لمن طاعاته تزيد ليس العيد لمن تجمل باللباس و الركوب إنما العيد لمن غفرت له الذنوب

Maksudnya: “Hari raya bukanlah bagi orang yang pakai baju baru, sesungguhnya hari raya itu bagi orang yang ketaatannya bertambah. Hari raya bukanlah bagi orang yang berhias dengan baju dan kenderaan yang bagus, hari raya itu bagi orang yang diampuni dosa-dosanya.” -1-

Wajar untuk kita menambah ketaatan dan berusaha berhari raya seperti diajarkan oleh Nabi SAW dan cuba jauhi sebarang pelanggaran (dosa) di hari raya.

Menurut Said bin al-Musayyib berkata:

سنة الفطر ثلاث: المشي إلى المصلى، والأكل قبل الخروج، والاغتسال

Maksudnya: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”

Selain tiga (berjalan, mandi dan makan), terdapat sunnah-sunnah lain di hari raya; seperti bertakbir, mengenakan pakaian terbaik, bergembira dan ucapan selamat.

1. BERTAKBIR

Waktu bertakbir raya aidilfitri ialah selepas maghrib hari terakhir puasa dan berakhir selepas khatib naik di mimbar berkhutbah raya.

Untuk aidiladha pula bermula Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan berterusan hingga ke Asar hari Tasyrik yang ketiga (13 Zulhijjah).

Imam al-Zuhri berkata:

كان الناس يكبرون في العيد حين يخرجون من منازلهم حتى يأتون المصلى وحتى يخرج الامام، فإذا خرج الامام سكتوا فإذا كبر كبروا

Maksudnya: “Manusia bertakbir semasa keluar rumah mereka sehingga tiba ke tempat solat. Dan hanya berhenti apabila imam keluar, maka terhentilah takbir.” -2-

2. MANDI

Ibn al-Qayyim berkata: “Nabi SAW mandi sebelum berangkat menuju tempat solat bagi mengerjakan solat raya.” -3-

Imam al-Syafie juga menganjurkan mandi sebelum mengerjakan solat hari raya (aidilfitri dan aidiladha). Tatacara mandi pula seperti mandi junub. -4-

3. PAKAIAN TERBAIK

Imam al-Syafie berkata: “Aku suka seseorang yang mengenakan pakaian terbaik pada hari-hari besar seperti; hari jumaat, kedua hari raya (aidilfitri dan aidiladha) dan apabila menghadiri keramaian. Maka waktu begini hendaklah mengenakan pakaian yang bersih dan wangian yang harum.” -5-

Bezakan antara pakaian yang indah dengan pakaian yang baru.

Ada yang memahami anjuran memakai yang indah bererti membeli pakaian yang baru. Kemudiannya diperluaskan kepada membeli pelbagai kelengkapan rumah yang baru seperti langsir, sofa, meja makan, permaidani dan sebagainya.

Sunnah Rasulullah SAW hanya menganjurkan memakai pakaian yang indah, tidak semestinya pakaian yang baru dibeli.

Ada pun membeli pelbagai pakaian dan kelengkapan rumah yang baru, ia termasuk tindakan yang menjauhi sunnah baginda, kerana sudah termasuk dalam kategori pembaziran dan menunjuk-nunjuk.” -6-

4. MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI

Solat aidilfitri dianjurkan makan sebelum solat namun bagi solat aidiladha pula dianjurkan makan setelah selesai solat. Dari Anas RA berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَغْدُ وْيَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَاْكُلَ تَمَرَاتٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak pergi (ke tanah lapang) pada hari aidilfitri hingga baginda makan beberapa butir kurma.” -7-

Ibn al-Qayyim berkata: “Adapun pada hari raya aidiladha, baginda tidak makan hingga kembali dari tempat solat. Setelah itu baru baginda makan dari haiwan korbannya.” -8-

Namun bagi sesiapa yang berisiko mudarat seperti penyakit yang tak boleh biarkan perut kosong dan sebagainya, maka boleh makan (sebelum solat aidiladha), kerana menjaga kesihatan lebih utama.

5. BERJALAN MENUJU TEMPAT SOLAT

Ali bin Abi Thalib berkata:

مِنْ السُّنَّةِ أَنْ تَخْرُجَ إِلَى الْعِيدِ مَاشِيًا وَأَنْ تَأْكُلَ شَيْئًا قَبْلَ أَنْ تَخْرُجَ

Maksudnya: “Antara sunnah ialah kamu keluar untuk solat aidilfitri dengan berjalan kaki, dan makan sesuatu sebelum keluar rumah.” -9-

Selain berjalan kaki, Nabi SAW juga akan ambil jalan berbeza semasa pergi dan pulang dari tempat solat. Ini sebagaimana dikatakan oleh Jabir bin ‘Abdullah RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

Maksudnya: “Jika Rasulullah SAW solat raya, baginda mengambil jalan yang berbeza (ketika berangkat ke tempat solat dan pulang).” -10-

Anjuran ini agar bertemu lebih ramai orang serta saling menyebarkan salam. Namun jika ada keuzuran tidak mengapa untuk berkenderaan dan ambil jalan lebih mudah.

6. BERGEMBIRA DI HARI RAYA

Islam bukanlah agama yang melarang umatnya untuk bergembira, dan hanya paksa suruh ibadah. Sebaliknya bergembira yang kena pada tempatnya akan dikurniakan pahala.

Sayid Sabiq berkata: “Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, pelbagai macam nyanyian yang baik, semua itu menjadi syi’ar agama yang disyariatkan Allah pada hari raya, untuk melatih tubuh jasmani dan untuk kepuasan serta kesenangan hati.” -11-

Kerana itu kita tidak sepatutnya mengkhususkan ritual menyedihkan hati seperti menziarahi kubur di pagi hari raya kerana Nabi SAW atau para sahabatnya juga tidak mengkhususkan untuk melakukannya.

Hari raya adalah hari kegembiraan dan kesenangan bukannya hari kesedihan dan tangisan.

Dan hari raya ialah hari kunjung-mengunjung sesama mereka yang masih hidup, bukannya mengunjungi orang yang sudah mati. -12-

Dalam sirah (kehidupan Nabi) kehadiran orang ke rumah Nabi SAW seperti dua orang budak yang bernyanyi dan seumpamanya ada diriwayatkan, namun tiada walau satu riwayat sahih Nabi SAW atau mana-mana sahabat menziarahi kubur di pagi raya.

Agama siapa yang kita ikuti dan ideologi apa yang kita anuti? Molek sangat untuk kita bermuhasabah diri. Letak emosi ke tepi dan adat di sisi, sambil julang syariat Ilahi.

7. MENGUCAPKAN SELAMAT PADA HARI RAYA

Tiada ucapan khusus yang diriwayatkan secara marfu’ dari Nabi SAW. Namun ada dinukilkan ucapan pada hari raya dari sebilangan sahabat dengan ucapan تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك. Jubair bin Nufair berkata:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

Maksudnya: Para sahabat Rasulullah SAW, apabila berjumpa pada hari raya, mereka saling mengucapkan, “تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك (Semoga Allah menerima amalku dan amal kalian). -13-

Selain ucapan tersebut, kita juga boleh mengucapkan ‘selamat hari raya’ atau seumpamanya yang mengandungi makna yang baik. Ini seperti dikatakan oleh Syeikh Muhammad Bin Soleh al-‘Utsaimin:

التهنئة بالعيد جائزة ، وليس لها تهنئة مخصوصة ، بل ما اعتاده الناس فهو جائز ما لم يكن إثماً

Maksudnya: “Ucapan selamat ketika hari raya dibolehkan. Tidak ada ucapan tertentu saat itu. Apa yang menjadi kebiasaan diucapkan manusia dibolehkan selagi mana ucapan tersebut tidak mengandungi kesalahan (dosa).” -14-

Inilah 7 sunnah di hari raya. Di samping itu, terdapat sunnah-sunnah lain yang boleh disisipkan, namun memadai kita ketahui yang umum dan amalkan yang tepat.

Wallahualam

Editor: Loha
30 Ramadan 1445H

_________________________________
1. Lata’if al-Ma’arif
2. HR Ibn Abi Syaibah
3. Zaadul Ma’ad
4. Al-Umm
5. Ibid
6. Kapten Hafiz Firdaus Abdullah. Amalan-Amalan Di Bulan Ramadan
7. HR al-Bukhari
8. Zaadul Ma’ad
9. HR Tirmidhi
10. HR al-Bukhari
11. Fiqh Sunah
12. Mohd Yaakub Mohd Yunus. Menyambut Ramadan Dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah.
13. HR al-Mujam al-Kabir, Sunan al-Kubra. Sanad hasan oleh Ibn Hajar dalam Fathulbari
14. Majmu’ Fatawa wa al-Rasail

Pelawat: 461
Hari ini: 2
Jumlah: 184132

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X