BERSUGI KETIKA PUASA
- 21/03/2024
- admin
- Comment: 0
- Akhlak & Etika, Dakwah, Hadis, Ibadah, Keluarga, Kemasyarakatan, Kesehatan & Perubatan, Pendidikan Agama, Sunnah
ISI KANDUNGAN:
1. Definisi Sugi
2. Kelebihan Bersugi
3. Alat Digunakan Bersugi
4. Waktu Bersugi
5. Cara Betul Bersugi
6. Hukum Bersugi Ketika Puasa
DEFINASI SUGI/SIWAK
Siwak atau sugi didefinasikan sebagai “pesugi lidi atau kayu halus yang digunakan utk membersihkan sela-sela gigi;” (Kamus Dewan)
Siwak secara ringkas bermaksud “Menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi supaya tidak berbau dan nampak kelihatan putih bersih.” (Ibanah al-Ahkam Syarah Bulugh al-Maram)
Imam al-Nawawi berkata, “Siwak menurut istilah para ulama iaitu kegiatan menggunakan ranting atau yang semacamnya untuk menghilangkan warna kuning serta kotoran lain yang ada pada gigi.” (Syarh Shahih Muslim)
2. KELEBIHAN BERSUGI
Terdapat banyak kelebihan yang secara logik kita boleh tahu. Imam al-Suyuthi membawa banyak hadis berkaitan bersugi dalam Lubab al-Hadis, namun antara kelebihan ringkas dan sahih apa disebutkan dalam hadis Aisyah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
السِّوَاكَ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِّ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ
“Bersugi membuat mulut bersih serta mendatangkan keredaan Tuhan.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Sahih Ibn al-Khuzaimah)
Imam al-Nawawi berkata: “Ibnu Khuzaimah meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang sahih. Juga Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini secara ta’liq.” (Riyadhussalihin)
Sheikh al-Utsaimin berkata: “Hadis ini menunjukkan dua manfaat penting bersugi, iaitu manfaat duniawi ia akan membersihkan mulut dan manfaat ukhrawi iaitu akan mendapatkan keredaan Allah. Ini menunjukkan perbuatan yang ringan menghasilkan kebaikan dan pahala yang besar.” (Syarhul Mumti’)
Kepentingan duniawi yang diperolehi seperti: “Mengelak mulut berbau busuk dan rasa tidak selesa, mengeluarkan sisa-sisa makanan dan bakteria yang sentiasa membentuk di dalam mulut dan mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi.” (http://www.myhealth.gov.my/memberus-gigi/)
3. ALAT DIGUNAKAN BERSUGI
Alat yang disebut dalam riwayat adalah Nabi SAW menggunakan pokok (أراك) atau dalam bahasa sains disebut Salvadora Persica.
Namun penggunaan sugi boleh digantikan dengan berus dan ubat gigi menurut sebahagian pendapat. Seperti disebutkan oleh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni al-Syafie:
واعلم أنه يحصل الاستياك بخرفة وبكل خشن مزيل, والعود أولى, والأراك الأولى.
“Ketahuilah bahawa bersiwak boleh dilakukan dengan potongan kain atau segala benda kasar, yang dapat menghilangkan kotoran. Namun bersiwak menggunakan ranting atau kayu arok itu lebih utama.” (Kifaya al-Akhyar)
Ibn Abd al-Bar al-Maliki juga mengemukan pendapat yang sama dengan katanya:
وكان سواك القوم الأراك والبشام . وكل ما يجلو الأسنان ، ولا يؤذيها
“Siwak yang biasa dipakai oleh masyarakat dahulu adalah kayu arok dan bassyam, juga setiap benda yang dapat membersihkan gigi, dan tidak mencederakannya.” (Al-Istidzkar)
Maka pendapat yang lebih kuat adalah berus atau sikat gigi termasuk juga dalam maksud sugi yang disebutkan dalam hadis.
“Adapun menggunakan jari sendiri tidak dikira sebagai alat bersugi bagi mazhab Syafie yang asah (paling kuat). Namun sekiranya tiada alat untuk bersugi, maka boleh menggunakan jari sendiri.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab).
Namun terdapat hadis riwayat Ahmad bahawa Nabi SAW juga pernah menggunakan jari mengantikan miswak.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin memberikan beberapa syarat sempurna kepada alat bersugi, katanya:
“Alat bersugi perlu lembut, sehingga batang atau akar kayu yang keras tidak boleh digunakan untuk bersiwak kerana ia boleh merosakkan gusi dan gigi. Alat bersugi membersihkan dan berserat serta bersifat basah, sehingga akar atau batang yang tidak ada seratnya tidak digunakan untuk bersugi. Seratnya tersebut tidak berjatuhan ketika digunakan untuk bersugi sehingga akan mengotorkan mulut.” (Syarhul Mumti’)
4. WAKTU BERSUGI
Umumnya manusia biasa bersugi apabila bangun tidur dan sebelum tidur. Menurut sarjana al-Nawawi beliau menjelaskan bahawa:
السواك مستحب في جميع الأوقات لكن في خمسة أوقات أشد استحبابًا : عند الصلاة ، وعند الوضوء ، وعند قراءة القرآن ، وعند الاستيقاظ من النوم ، وعند تغير الفم، وتغيره يكون بأشياء منها : ترك الأكل والشرب ، ومنها أكل ما له رائحة كريهة ، ومنها طول السكوت وكثرة الكلام
“Bersugi hukumnya sunnah dilakukan bila-bila masa sahaja. Akan tetapi ada lima keadaan yang lebih ditekankan untuk bersiwak:
(1) Ketika hendak solat,
(2) Ketika hendak wuduk,
(3) Ketika hendak membaca al-Quran,
(4) Apabila bangun tidur, dan
(5) Apabila ada perubahan bau mulut seperti misalnya kerana lama tidak makan dan minum, makan makanan yang berbau busuk, lama diam atau sebab banyak cakap.” (Syarh Shahih Muslim)
5. CARA BETUL BERSUGI
Cara menggosok gigi akan dilihat tangan mana dipegang alat bersugi dan cara bersugi menurut sarjana Islam dan kedoktoran moden.
Berus atau alat bersugi menurut Ibn al-Taimiyyah disunnahkan dengan tangan kiri kerana termasuk kategori bersuci. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili adalah sunat dengan tangan kanan kerana memuliakan.
Sheikh al-Utsaimin menyimpulkan bahawa bebas menggunakan tangan yang mana kerana tiada hadis khusus dalam bab ini. Oleh itu, gunakan tangan mana yang lebih selesa.
Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata, memegang alat bersugi dengan tangan kanan, kemudian:
“Mula menggosok gigi daripada kanan ke kiri dengan cara melintang dari gigi geraham hingga ke gigi kacip atas dan bawah. Kemudian gigi geraham kiri hingga ke gigi kacip atas dan bawah. Seterusnya bahagian sebelah dalam bahagian atas dan bawah bermula kanan dan diikuti sebelah kiri. Sementara lidah digosok dari pangkal lidah ke hujung sama ada melintang atau membujur.” (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuha)
Cara memberus gigi mungkin berbeza mengikut umur dan keadaan gigi, namun garis panduan umum diberikan doktor adalah seperti berikut:
“Berus pada semua bahagian gigi, iaitu bahagian luar, dalam, atas permukaan gigi dan celah-celah gigi.
Pada permukaan luar dan dalam, letakkan berus pada kecondongan 45 darjah dan mulakan memberus dari gusi ke gigi.
Pada permukaan mengunyah, pegang berus gigi mendatar dan berus ke belakang dan ke hadapan.
Pada bahagian dalam gigi hadapan, tegakkan berus gigi dan beruskan ke dalam dan ke luar dengan menggunakan hujung berus.
Di celah-celah gigi atau kawasan interdental, gunakan berus gigi kecil (berus interdental) dengan gerakan ke luar dan ke dalam.
Lidah pun harus diberus juga kerana sisa-sisa makanan dan bakteria mudah melekit di bahagian papila lidah anda.
Untuk memberus lidah, pegang berus gigi mendatar dan berus lidah dengan menolak berus ke hadapan dan ke belakang.” (http://www.myhealth.gov.my/memberus-gigi/)
6. HUKUM BERSUGI KETIKA PUASA
Isu berkaitan kemakruhan bersugi bagi orang berpuasa sering diwar-warkan. Sebenarnya ia adalah khilaf, sebagaimana diriwayatkan dari Amir bin Rabi’ah berkata:
رأيت النبي مالا يحصى يتسوك وهو صائم.
“Aku melihat Nabi SAW tak terhitung banyaknya beliau bersiwak sedang beliau sedang berpuasa.”
Imam al-Tirmidhi ketika memberi komentar pada hadis ini beliau berkata:
حَدِيثُ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ لَا يَرَوْنَ بِالسِّوَاكِ لِلصَّائِمِ بَأْسًا إِلَّا أَنَّ بَعْضَ أَهْلِ الْعِلْمِ كَرِهُوا السِّوَاكَ لِلصَّائِمِ بِالْعُودِ وَالرُّطَبِ وَكَرِهُوا لَهُ السِّوَاكَ آخِرَ النَّهَارِ وَلَمْ يَرَ الشَّافِعِيُّ بِالسِّوَاكِ بَأْسًا أَوَّلَ النَّهَارِ وَلَا آخِرَهُ وَكَرِهَ أَحْمَدُ وَإِسْحَقُ السِّوَاكَ آخِرَ النَّهَارِ
“Hadis ‘Amir bin Rabi’ah merupakan hadis hasan. Para ulama melihat bahawa siwak tidak membatalkan puasa, hanya saja sebagian ulama tidak menyukai orang yang sedang berpuasa melakukan siwak dengan siwak basah, begitu juga melakukan siwak di petang hari. Imam al-Syafie berpendapat bolehnya bersiwak baik di pagi hari atau di siang hari. Sedangkan Imam Ahmad dan Ishaq tidak menyukai bersiwak pada petang hari.” (Sunan al-Tirmidhi)
Dari kenyataan al-Tirmidhi sendiri jelas bahawa sebahagian ulama tidak menyukai bersugi ketika berpuasa, ini berdasarkan dari hadis Abu Hurairah RA, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“…Sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada harumnya minyak wangi.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini sering digunakan bagi mereka yang menyatakan makruh bersugi ketika puasa, namun berkata Syaikh Ali Bassam:
“Tidak ada dalil pada hadis ini (iaitu hadis لَخُلُوْفُ فَمِ …), sebab bersugi tidaklah menghilangkan bau yang timbul dari sumbernya iaitu dari perut.” (Taudih al-Ahkam)
Ibnu al-Qayyim berkata: “Siwak tidak menghilangkan bau mulut orang berpuasa. Kerana penyebab bau mulut adalah disebabkan kosongnya perut dari makanan.” (Zaad al-Maad)
Imam al-Bukhari yang meriwayatkan hadis bau kasturi mulut orang berpuasa tersebut juga ada memuatkan judul dalam kitabnya iaitu:
(باب ما جاء في السواك للصائم)
“Bab bersugi bagi orang yang berpuasa.”
Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Isyarat dari judul ini (sugi bagi orang berpuasa) adalah untuk menolak pendapat mereka yang memakruhkan bersugi bagi orang berpuasa.” (Fath al-Bari).
Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:
فالسواك في الصيام مستحب في كل الأوقات في أول النهار وفي آخره، كما هو مستحب قبل الصيام وبعد الصيام .. فهو سنة أوصى بها رسول الله – صلى الله عليه وسلم – وقال: ” السواك مطهرة للفم مرضاة للرب ” (رواه النسائي وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما . ورواه البخاري معلقًا مجزومًا) . ولم يفرق بين الصوم وغيره.
“Bersugi ketika puasa adalah dituntut pada setiap waktu, meskipun awal siang atau pada akhirnya. Sama halnya bersugi sebelum atau selepas puasa. Ia merupakan sunnah yang telah diwasiatkan Nabi SAW. Dan Nabi SAW tidak membezakan antara orang berpuasa atau tidak berpuasa.” (Fiqh al-Mu’asirah. Dengan diringkaskan)
Pendapat tidak memakruhkannya dilihat lebih hampir dengan tuntutan agama. Kerana kita tidak mahu orang Islam berimej kelihatan kuning gigi atau berbau busuk ketika Ramadan. Pendapat sunat bersugi walau berpuasa ini juga selari dengan pendapat al-Bukhari, Ibn al-Qayyim, Yusuf al-Qardhawi dan selainnya.
Bersugi termasuk suatu hal yang hampir diwajibkan oleh Nabi SAW, sabda baginda:
لَوْلاَ أنْ أشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلاَةٍ
“Seandainya tidak memberatkan umatku, pasti aku perintahkan mereka untuk bersiwak bersamaan dengan setiap kali solat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Abu ‘Ulla al-Mubarakfuri berkata: “Hadis-hadis yang semakna dengan hadis di atas yang membicarakan keutamaan bersiwak adalah hadis mutlak yang menunjukkan bahawa siwak dibolehkan setiap masa. Inilah pendapat yang lebih tepat.” (Tuhfa al-Ahwadzi Syarah Sunan al-Tirmidhi)
Namun perlu diingatkan supaya berhati-hati ketika memberus atau bersugi, jangan sampai tertelan ubat atau serpihan kayu sugi. Sheikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz berkata:
“Bersiwak membersihkan gigi menggunakan ubat gigi tidak membatalkan puasa. Hal ini selama menjaga diri dari sesuatu masuk ke dalam rongga perut. Jika tidak sengaja ada sesuatu yang masuk ke dalamnya, maka tidak batal puasa.” (Majmu’ Fatawa Ibn al-Baz)
7. KESIMPULAN
Islam agama maju dalam segala aspek, sehingga tatacara membersihkan gigi pun telah ada diajarkan dalam ajaran Islam.
Saranan dari agama mahu pun aspek kesihatan dan kebersihan iaitu menggosok atau sugi gigi adalah sangat dituntut dalam semua keadaan biarpun ketika sedang berpuasa.
Gunalah apa saja terdaya, kayu sugi, berus atau sikat dan andai tiada apa, gunalah tangan bagi memastikan gigi sentiasa bersih dan mulut tidak berbau.
Wallahualam
Editor: Loha
12 Ramadan 1445H