MERENJIS KENDERAAN

26 Views

Menjadi amalan sebahagian orang apabila beli kereta, mereka akan berjumpa sami mereka di Kuil atau Tokong, untuk melaksanakan ritual pada kenderaan tersebut.

Ritual yang dilaksanakan antaranya ialah merenjiskan air pada kenderaan tersebut dengan membaca mantera tertentu.

Sebahagian umat Islam yang tiada prinsip, begitu mudah meniru amalan ini. Lebih malang apabila ia dilaksanakan oleh mereka yang mendapat gelaran “ustaz/ustazah”. Merekalah yang akan membaca ayat al-Quran dan merenjis pada kenderaan.

Dalam helaian Sirah, Nabi SAW mempunyai kenderaan (sesuai ikut zaman), seperti unta, kuda dan sebagainya. Namun tak pernah Nabi SAW atau para sahabat atau imam 4 mazhab menunjukkan contoh merenjis kenderaan.

Apabila orang melakukan ritual merenjis dan kemudian kemalangan, secara tidak langsung ia mencalarkan imej agama, kerana seakan-akan bacaan al-Quran tiada magik, sedangkan itu bukanlah dari ajaran Islam dan bukanlah juga itu tujuan diturunkan al-Quran.

Kita telah tahu bahawa amalan merenjis kenderaan tidak diajarkan Nabi SAW, sebaliknya didapati pada ajaran agama lain.

Menurut jabatan agama atau jabatan Mufti, perbuatan menjirus atau merenjis air pada kenderaan dikategorikan sebagai perbuatan terlarang. Ini sebagaimana dinyatakan oleh:

1. Jabatan Mufti Negeri Selangor:

“Perbuatan merenjis/ membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan, hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmah terhadap masyarakat Islam.” -1-

2. Mufti Negeri Sembilan:

“Tindakan segelintir individu beragama Islam yang dipercayai memandikan kenderaan baharu mereka menggunakan air daripada solat hajat dan bacaan Surah Yasin…boleh menimbulkan fitnah dan tohmah kepada orang lain. Maka (perbuatan sebegitu) perlu ditegah dan tidak boleh dijadikan ikutan.

Solat hajat dan membaca Surah Yasin memang perbuatan yang elok. Tapi apabila airnya sampai dibuat mandi kenderaan, haiwan dan sebagainya, itu tidak patut dan sama sekali menyeleweng.” -2-

3. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang:

“Pertama, jika acara itu bertujuan meniru budaya golongan bukan Islam maka perbuatan merenjis diharamkan kerana ia punca kepada membudayakan budaya orang kafir dalam amalan seharian.

Kedua, jika acara merenjis atau menjirus air ke kenderaan dilakukan bagi memenuhi upacara pemujaan dan kepercayaan terhadap mitos bahawa amalan itu akan menghindarkan seseorang daripada segala malang seperti kemalangan atau kerosakan ia juga diharamkan kerana perbuatan dan iktikad tersebut mempunyai unsur kesyirikan kepada Allah SWT.

Perbuatan merenjis air jampi atau tepung tawar kepada kenderaan atau apa-apa objek adalah suatu perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan mirip kepada ajaran agama Hindu yang ada unsur pemujaan dan kesyirikan.

Maka perbuatan tersebut adalah dilarang dan ia boleh menjadi haram apabila wujudnya unsur membudayakan budaya orang kafir dalam amalan seharian serta tidak patut dipraktikkan dalam masyarakat kita.” -3-

Rasanya penjelasan dari para mufti telah memadai bagi menjelaskan hukum merenjis ini. Sebagaimana majunya teknologi, kita mengharapkan daya fikir juga akan terus maju dan tidak kembali kuno disebabkan adat atau disebabkan mereka bertopengkan syariat.

Andai merenjis itu dapat elak musibah, tentu tiada langsung kemalangan di dunia ini. Tapi kalau kita beralasan kemalangan terjadi kerana takdir, jadi untuk apa ritual merenjis? Sia-sia, bazir air, buang waktu dan tidak mencerdikkan diri.

Nabi SAW telah ajarkan amalan apabila membeli kenderaan baru, bukanlah dengan menjirus atau merenjis, sebaliknya Nabi SAW bersabda, apabila kalian berkahwin atau membeli hamba maka hendaklah dia ucapkan:

اللَّهُمَّ! إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَمِنْ شَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau jadikan ia berada di atasnya dan aku berlindung denganmu daripada kejahatannya dan kejahatan yang Engkau jadikan ia berada di atasnya.

Jika dia membeli unta maka peganglah puncak bonggolnya dan ucapkanlah semisal dengannya.” -4-

Unta adalah kenderaan zaman itu, hal dunia berevolusi dan kini kenderaan lebih moden dengan wujudnya kereta, motor dan seumpamanya. Maka apabila kita beli kenderaan, bacalah doa ini, sebagaimana selari dengan sunnah.

Para ustaz/ustazah juga diingatkan supaya ajarkan sunnah kepada masyarakat dan jangan anda menjadi asbab punahnya ummah dengan bidaah dan khurafat.

Wallahualam

_________________________
1.
https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=1367 (dengan diadaptasi)

2. https://www.indahnyaislam.my/kereta-mandi-air-yasin-khurafat-mufti-negeri-sembilan/
(dengan diadaptasi)
3. https://www.kosmo.com.my/2023/08/03/469177/#:~:text=JAWAPAN%3A%20Merenjis%20air%20jampi%20pada,petua%20dan%20amalan%20nenek%20moyang. (dengan diadaptasi)
4. HR Abu Daud

Editor: Loha
22 Syawal 1445H

Pelawat: 0
Hari ini: 0
Jumlah: 0

Ikuti Kami Di Media Sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *